NEW YORK – AMERIKA SYARIKAT.  Menyambut baik usaha dan kemajuan dicapai Myanmar dalam melakukan proses pembaharuan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon pada masa sama mengingatkan "lebih banyak keras perlu dilakukan untuk menyelesaikan banyak cabaran di negara itu".
Ban berkata demikian pada mesyuarat Kumpulan Rakan Kongsi mengenai Myanmar pada Jumaat.
Pemimpin PBB itu juga mengakui bahawa  Myanmar telah "mencapai kejayaan ketara" dalam banyak bidang pembangunan sosio-ekonomi, perdamaian dan pendemokrasian negara, sambil menegaskan proses pembaharuan dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan  Presiden U Thein Sein terus mencatatkan kemajuan.
"Usaha Presiden Thein Sein mengadakan dialog politik dengan pemimpin lain berhubung isu-isu penting – termasuk pembaharuan perlembagaan – amat menggalakkan," kata Ban yang turut memuji "usaha cemerlang" kerajaan Myanmar dalam usaha untuk mencapai keamanan.
Pilihan raya umum yang akan diadakan pada hujung tahun ini akan menjadi langkah penting, dan untuk memastikan ia dilaksanakan secara berwibawa, memerlukan kerjasama semua pihak untuk jangka panjang, katanya.
Kerajaan Myanmar, katanya perlu membenarkan dan memberi kebebasan untuk mengadakan perhimpunan, memastikan suasana terbuka bagi media dan perlindungan terhadap hak sivil dan politik untuk semua. 
Selepas 16 bulan berunding, pada 31 Mac, kerajaan dan kumpulan etnik bersenjata mencapai persetujuan berhubung teks perjanjian gencatan senjata seluruh negara yang dapat menamatkan konflik lebih 60 tahun, kata Setiausaha Agung PBB itu.
"Bagaimanapun, masih banyak kerja keras menanti. Adalah penting bagi perjanjian gencatan senjata itu ditandatangani dan diperakukan tanpa dilengahkan lagi," katanya dan menurutnya perjanjian itu merupakan langkah pertama ke arah mengadakan dialog tentang isu-isu penting lain seperti peranan tentera dan pembaharuan perlembagaan.
Ban berkata pertempuran yang sedang berlaku di negeri Kachin dan Shan di utara Myanmar telah mengakibatkan orang awam menderita.
Pertempuran di Kokang juga amat merengsakan dari segi impaknya terhadap kehidupan penduduk dan kemusnahan serta implikasinya terhadap rantau itu untuk jangka panjang, katanya.
Ban mengingatkan bahawa permusuhan antara penduduk di Rakhine akan menyebabkan "kestabilan terjejas teruk", sambil menegaskan sudah "wujud tanda-tanda bahawa perselisihan etnik dan agama sedang dieksploitasi menjelang pilihan raya".
Kenyataan dikeluarkan jurucakap Ban pula menyatakan negara-negara anggota  pada mesyuarat itu telah menyatakan sokongan berterusan mereka terhadap usaha pembaharuan dilakukan kerajaan dalam bidang pendemokrasian, pembangunan sosio-ekonomi dan perdamaian negara. - Bernama