Pilihan raya Thailand tahun depan
Prayuth akan kekal menjadi pemimpin Thailand jika negara berdepan ancaman yang mengganggu keselamatan rakyat. - Foto AFP
BANGKOK - THAILAND. Kerajaan junta Thailand akan mengikut perancangan asal berkaitan negara termasuk mengadakan pilihan raya pada awal tahun depan, menurut jurucakap tentera, semalam.

"Kami komited kepada pelan tindakan di mana pilihan raya akan berlaku selepas perlembagaan baharu diwujudkan. Perlembagaan dijangka siap hujung tahun ini," menurut Kolonel Winthai Suvaree.

Winthai bagaimanapun enggan mengulas kenyataan dibuat beberapa pegawai kerajaan yang mengatakan junta akan terus berkuasa jika diperlukan.

Difahamkan, kenyataan itu dibuat selepas pertemuan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha dengan seorang peramal yang meramalkan beliau akan terus menyandang jawatan itu selama tiga tahun lagi.

Sementara itu, timbalan jurucakap kerajaan Mejar Jeneral Sansern Kaewkamnerd berkata, junta akan terus berkuasa di Thailand sehingga ia mencapai matlamatnya atau selagi usaha untuk menggulingkan kerajaan berterusan.

"Jika semuanya berlangsung seperti dirancang, tidak perlu bagi kerajaan untuk terus memerintah. Perdana menteri selalu berkata bahawa kerajaan ini tidak mahukan kuasa, tetapi hanya mahu bekerja demi kepentingan negara.

"Tetapi jika ada percubaan yang menghalang pembaharuan negara atau yang membawa kepada huru hara kepada pegawai dan rakyat, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mempertahan rakyat," katanya. - dpa