BANGKOK, 11 April:

Tujuh cedera, apabila sebuah kenderaan meletup di sebuah pusat beli-belah di Pulau Samui, Wilayah Surat Thani, malam semalam.
Bom buatan sendiri yang disembunyikan dalam sebuah pikap, di tingkat bawah tanah pusat beli-belah Central Festival itu, meletup kira-kira jam 11.30 malam tadi, sejurus selesai satu pertunjukan fesyen.
Mangsa cedera terdiri daripada enam warga tempatan dan seorang kanak-kanak perempuan dari Itali.
“Tujuh mangsa cedera ringan, selepas terkena serpihan letupan itu,” kata Komander Polis Wilayah Surat Thani, Kolonel Apichart Boonsriroj kepada AFP.
Sementara itu, Ketua Pencegahan Bencana Pulau Samui, Poonsak Sophonpathumrak yang dipetik AP sebagai berkata, letupan itu hampir memusnahkan keseluruhan pikap berkenaan, selain merosakkan beberapa kenderaan berhampiran.
Lokasi letupan itu terletak beberapa ratus meter dari Pantai Chaweng yang popular di kalangan pelancong tempatan dan asing.
Pihak berkuasa percaya, kenderaan itu dicuri di satu daripada tiga wilayah, di selatan Thailand yang dibelenggu pemberontakan yang meragut lebih 5,000 nyawa, sejak 2004.
“Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan di tempat kejadian untuk mencari lebih banyak petunjuk dan maklumat, sebelum boleh mengaitkan ia dengan mana-mana kumpulan pemberontak,” katanya.
Kumpulan pemberontak kerap melancarkan letupan kenderaan dalam serangan-serangan di destinasi pelancongan lain di wilayah selatan Thailand, namun tidak pernah menyasarkan Pulau Samui yang merupakan sebuah daripada destinasi pelancongan terkenal di Negara Gajah Putih itu.