18 April 2015

Prayuth tak mahu terus berkuasa


Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha (gambar) semalam memuji pencapaian kerajaan tenteranya dan berkata, baik pulih perlembagaan diperlukan bagi mengeluarkan negara itu daripada krisis politik sejak bertahun lalu.
Prayuth berkata demikian dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen negara itu sempena genap enam bulan beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.
Kata Prayuth, kerajaannya masih mengekalkan rancangan asal untuk mengembalikan pemerintahan demokrasi dan menegaskan tentera juga tidak menyalahgunakan kuasa mereka.
“Semua rangka masa yang saya tetapkan, saya tidak pernah menyimpang darinya,” ujarnya.
Prayuth mengetuai rampasan kuasa pada Mei tahun lalu untuk menggulingkan kerajaan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra selepas berlakunya tunjuk perasaan selama enam bulan.
“Saya tidak mahu terus berkuasa. Saya tidak pernah mendapat sebarang manfaat selain hanya beberapa pujian dan lebih banyak kritikan,” tegasnya.
Prayuth sebelum ini dikecam hebat oleh kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana menggunakan mahkamah tentera untuk mengugut pembangkang dan media serta membenarkan penahanan tanpa dakwaan.
Undang-undang tentera itu diganti dengan satu undang-undang baru pada bulan ini tetapi pengkritik berkata, ia lebih bersifat diktator.
Bagaimanapun, Prayuth menolak dakwaan itu dan memberitahu undang-undang berkenaan diperlukan untuk kesesuaian birokrasi.
Tambahnya, negara luar memahami situasi yang dialami Thailand.
“Mereka (negara luar) tidak bimbang. Mereka hanya mahukan kita mengadakan pilihan raya secepat mungkin,” katanya dalam ucapan selama 90 minit.
Pilihan raya yang pada asalnya dijadualkan tahun ini tetapi ditangguhkan pada 2016 bagi memberi masa anggota parlimen yang dipilih tentera merangka perlembagaan baru. -Reuters
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/44630#sthash.7XznQkeP.dpuf

No comments:

Post a Comment