bendera thailand
PATTANI - THAILAND. Seorang pegawai tentera di selatan Thailand memohon maaf berikutan empat orang awam terbunuh dan 22 lagi ditahan dalam operasi yang dilakukan pihak keselamatan di wilayah itu pada 25 Mac lepas.

Komander Tentera Bahagian Keempat Left Jen Prakarn Chollayuth, semalam, memohon maaf daripada penduduk tempatan dan anggota keluarga mangsa yang  maut dan ditahan itu.

"Sebagai pimpinan bertanggungjawab dengan keselamatan dalam kawasan saya...saya meminta maaf atas kejadian itu yang menyebabkan keganasan," katanya.    

Beliau memohon maaf tersebut setelah Jawatankuasa Siasatan Kebenaran Kejadian di Kampong Tokchud, Pattani, mendapati keempat-empat mangsa yang terbunuh bukan anggota Gerakan Pembebasan Pattani, seperti didakwa oleh pegawai keselamatan tersebut.

Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pattani Wae Deramae Matmingcik, anggota dan wakil jawatankuasa siasatan itu, membaca keputusan siasatan tersebut kepada media, pegawai kerajaan dan anggota keluarga mereka yang terlibat.

Antara keputusan siasatan tersebut, jawatankuasa berkenaan mendapati senjata api dan bom tangan yang dijumpai berdekatan dengan mayat mangsa, bukan milik mangsa.

Hasil siasatan juga mendapati bahawa tiga laras senjata api AK-47 tidak mempunyai rekod polis bahawa senjata tersebut pernah digunakan oleh Gerakan Pembebasan Pattani, sebelum ini.  

Ia juga mahukan pegawai keselamatan bertanggungjawab, dihadapkan ke  mahkamah bagi mendapat keadilan dan mengembalikan keyakinan semua pihak.

Kerajaan juga diminta memberi perlindungan keselamatan kepada saksi-saksi.

Jawatankuasa tersebut ditubuhkan oleh Gabenor Wilayah Pattani Wirapong Keawsuwang pada 27 Mac lepas, dan terdiri daripada 15 anggota daripada pelbagai
organisasi tempatan.

Mereka diberi tempoh tujuh hari untuk menyiasat, mencari maklumat dan kebenaran melalui maklumat daripada mangsa yang ditahan, anggota keluarga dan dan pegawai yang bertugas pada hari tersebut.

Pihak keselamatan mendakwa operasi tersebut berdasarkan maklumat risikan pergerakan anggota gerakan dalam merancang untuk menyerang pegawai  keselamatan di daerah Tung-Yang-Deang, Pattani.

Anuar Merah, bapa kepada Madari Merah yang maut dalam operasi itu, berkata beliau menerima keputusan jawatankuasa siasatan tersebut.

"Saya puas hati. Kita tunggu dan lihat pada masa depan bagaimana pula. Kalau ikut hati, saya nak mereka yang bersalah dihukum sejajar dengan apa yang mereka lakukan," katanya.

Dalam pada itu, Rektor Universiti Fathoni Dr Ismail Lutfi Chapakia berucap dalam nada sebak dan tidak mampu menahan air mata kerana dua mangsa yang terbunuh adalah pelajar universiti berkenaan.  

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, tidak kira pemberita yang mengambil sifat berwaspada dalam menyebar berita ini bagi melahirkan kedamaian dalam kawasan ini," katanya yang gembira dengan proses keadilan tersebut. - Bernama