Laman web Bangkok Post melaporkan, kedua-dua parti berkenaan iaitu Parti Demokrat dan Parti Pheu Thai mendakwa, pelaksanaan Perlembagaan baharu hanya akan menggugat perpaduan rakyat.
Wakil dari kedua-dua parti terbabit dan pemimpin Barisan Demokrasi Terhadap Kepimpinan Diktator (UDD), hari ini menyatakan rasa tidak puas mereka terhadap beberapa isu kontroversi yang terdapat di dalam Perlembagaan berkenaan.
Selain itu, mereka turut menggesa supaya diwujudkan Perlembagaan yang adil, bertaraf dunia dan diterima oleh rakyat.
Beberapa orang pemimpin politik utama yang terlibat dalam mesyuarat Majlis Pembaharuan Nasional (NRC) juga dilihat lebih berminat untuk melakukan penundaan pilihan raya berbanding melaksanakan Perlembagaan baharu yang mereka sifatkan sebagai membawa banyak masalah.
Ketua Pasukan Perundangan Pari Demokrat, Wirat Kalayasiri berkata, pilihan raya tidak perlu dilaksanakan segera kerana semua pihak boleh menerima penundaanya, asalkan proses dapat berjalan dengan adil di bawah Perlembagaan yang dipersetujui rakyat.
“Pemimpin kami iaitu Abhisit Vejjajiva menyokong kepada pilihan raya yang baik dan tidak semestinya pilihan perlu diadakan segera,” jelas Wirat.
Dalam perkembangan lain, Perlembagaan baharu Thailand dijangka diluluskan tanpa sebarang bantahan oleh NRC, dengan tiada sebarang perubahan peruntukan yang besar dilakukan, walaupun ahli-ahli politik mengkritiknya sebagai tidak demokratik.
“Perkara penting dalam Perlembagaan itu, seperti sistem pilihan raya dan asal usul Senator tidak akan diubah. Perubahan hanya akan dibuat pada butiran kecil Perlembagaan,” kata jurucakap NRC, Jeneral Lertrat Rattanvanich.
Katanya, draf berkenaan diharap dapat mengawal kuasa yang dimiliki anggota Parlimen. – REUTERS/AGENSI