13 April 2015

Letupan di Koh Samui didorong sentimen politik


AHAD, 12 APRIL 2015 @ 11:57 PM 

BANGKOK: Pihak berkuasa yakin letupan bom di Koh Samui Jumaat lalu didorong sentimen politik. Pemerhati percaya serangan itu bertujuan mencabar kerajaa kerana ia berlangsung menjelang Festival Songkran yang cukup popular di kalangan pelancong. Sementara itu, kawalan keselamatan ditingkatkan di destinasi popular pelancong di selatan selepas insiden itu, termasuk Phuket, Hat Yai dan Samui. Tujuh orang termasuk, budak perempuan Thailand-Itali berusia 12 tahun cedera dalam letupan bom kereta di tempat letak kereta bawah tanah dekat pusat beli belah Central Festival. Mereka yang cedera ringan kemudian dibenarkan pulang. Jurucakap NCPO, Winthai Suvari berkata, terdapat kumpulan tertentu yang berniat buruk dengan mengambil kesempatan untuk mengganggu keamanan dan mencetus keganasan. Beliau meminta orang ramai yang punya maklumat untuk membantu penyiasat berhubung serangan bom itu. Timbalan jurucakap kerajaan, Mejar Sansern Kaewkamnerd berkata, laporan awal menunjukkan mereka yang bertanggungjawab adalah dari kumpulan yang sama pernah meledakkan bom di Bangkok. "Sejak pihak berkuasa mengenakan pemeriksaan ketat di Bangkok, penjenayah mula beralih ke kawasan lain. Pihak berkuasa mendapati ia ada kaitan dengan pengebom di Samui. Kami sedang menjejaki bukti dari lokasi kejadian," kata Sansern. Jurucakap Isoc, Kolonel Banpot Poonpian berkata, sebuah trak pikap dengan nombor pendaftaran 4892 dari Yala, yang dicuri dekat Persatuan Pentadbiran Tambon La Ae di Yala pada 31 Mac, digunakan dalam serangan bom itu. - Agensi

No comments:

Post a Comment