5 May 2015

Polis Thai tangkap dalang sindiket seludup manusia


Anwar


NAKHON SI THAMMARAT – Polis Thailand menangkap seorang lelaki yang dipercayai dalang di sebalik satu rangkaian sindiket ­penyeludupan manusia susulan penemuan sebuah kem di hutan yang menyimpan berpuluh-puluh mayat imigran.
Soe Naing yang lebih dikenali sebagai Anwar ditahan pada Rabu lepas setelah pihak berkuasa menutup sebuah kem dekat sempadan Thailand-Malaysia.
Timbalan Komander Polis Wilayah Nakhon Si Thammarat, Kolonel Anuchon Chamat berkata, seramai 400 imigran dengan kebanyakannya etnik Rohingya dan rakyat Bangladesh ditahan untuk meminta wang tebusan.
Penahanannya dan penemuan kem yang mengandungi 26 mayat di sebuah kubur besar pada Jumaat lepas merupakan tangkapan besar pertama terhadap aktiviti pemer­dagangan manusia yang disifatkan oleh beberapa aktivis dan pegawai Thai sebagai dibiarkan berleluasa selama bertahun-tahun ekoran sikap tidak acuh pihak berkuasa.
“Tangkapan ini besar. Dia orang penting sindiket,” kata Anuchon.
Dalam pada itu, Anwar menafikan terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan menyatakan, dia menyara hidup dengan menoreh getah dan menjual roti goreng.
Menurutnya, pada Rabu lalu, beberapa orang yang berdendam dengannya menyebarkan gambarnya dan menuduh dia menyeludup manusia.
“Terdapat ramai Anwar. Saya juga dipanggil Anwar tetapi anda perlu tahu Anwar yang mana penyeludup manusia,” katanya.
Seramai empat orang telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan sejak Januari lalu, ujar Anuchon.
Tambahnya, rekod panggilan telefon menunjukkan sindiket itu turut beroperasi di Malaysia, Myanmar dan Bangladesh.
“Polis sedang mengumpul bukti untuk mendakwa Anwar kerana membunuh, menyeludup manusia dan mendalangi aktiviti jenayah rentas sempadan. Suspek merupakan etnik Rohingya yang tinggal di wilayah Songkhla, selatan Thailand,” jelas Anuchon.
Menurutnya, polis turut mengutip sampel DNA daripada kubur tersebut. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3ZD5hgG4q 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment