Laman web Bangkok Post melaporkan, bukti menunjukkan pegawai atasan yang tidak didedahkan identitinya itu mempunyai kaitan langsung dengan aktiviti haram berkenaan.
Bukti terbabit termasuki empat resit pemindahan wang ke dalam akaun bank milik pegawai tentera tersebut dan satu dokumen tertera nombor akaun bank itu serta nama pegawai mejar jeneral berkenaan.
Sumber berkata, penyeludupan etnik Rohingya serta pendatang asing di Ranong dan kawasan sempadan di selatan negara ini, merupakan satu perniagaan mewah kerana banyak rasuah diberikan kepada pegawai penguat kuasa.
“Dari Ranong ke Padang Besar (daerah Sadao, wilayah Songkhla berdekatan sempadan Thailand-Malaysia) pada kebiasaannya terdapat banyak pos pemeriksaan polis dan tentera, tetapi sindiket penyeludupan masih boleh melepasinya. Tidakkah anda tertanya-tanya mengapa kejadian itu boleh berlaku?.
“Dalam kes ini, walaupun polis menemui bukti penglibatan mejar jeneral itu, tetapi tiada pihak boleh melakukan apa-apa terhadap suspek. Anda tahu siapa yang berkuasa, jadi suspek tidak takut,’’ kata sumber itu.
Dalam pada itu, tentera Thailand menafikan penglibatan pegawai mereka dalam aktiviti ber­kenaan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Udomdej Sitabur berkata, tentera bersedia menjalankan siasatan, namun masih belum dapat mengenal pasti suspek berkenaan.