ANGGOTA tentera Thailand memeriksa lokasi serangan bom yang mengorbankan sebanyak empat orang yang dipercayai dilakukan kumpulan pemisah di daerah Khok Pho, Pattani, kelmarin. REUTERS
BANGKOK 13 Nov. – Sebanyak empat orang maut, manakala empat lagi cedera dalam satu letupan bom di wilayah selatan Thailand, semalam, satu lagi pergolakan terbaharu di wilayah itu yang dibelenggu pemberontakan sejak lebih sedekad lalu.
Letupan itu berlaku di pusat pemeriksaan di daerah Khok Pho di wilayah Pattani, membunuh empat orang lelaki Buddha berumur antara 43 dan 54 tahun.
“Sebanyak empat sukarelawan kampung terbunuh, manakala empat lagi cedera dan kini masih menerima rawatan di hospital,’’ kata jurucakap polis, Kolonel Uthai Thipsopa di lokasi kejadian.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa Thailand membekalkan sukarelawan kampung dengan senjata api bagi melindungi perkampungan mereka daripada serangan senjata dan bom oleh kumpulan pemisah yang menuntut pemerintahan sendiri di wilayah berkenaan.
Lebih 6,400 orang terbunuh dalam konflik di selatan Thailand sejak 2004 dengan kebanyakan korban adalah orang awam.
Kumpulan pemisah sering melakukan serangan terhadap pasukan keselamatan Thailand termasuk menyerang mereka yang bersimpati terhadap negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.
Pihak berkuasa Thailand pada masa sama dituduh melakukan pencabulan hak asasi yang teruk termasuk penahanan tanpa perbicaraan serta pembunuhan secara sewenang-wenangnya. – AFP
No comments:
Post a Comment