15 August 2016

'Kami dah tahu'



AFP
Bangkok: Pihak berkuasa Thailand tahu siapa dalang siri serangan bom di beberapa lokasi pelancongan di selatan negara itu yang menyebabkan empat orang maut, kata polis semalam.

Polis berkata, sekurang-kurangnya dua lelaki ditahan untuk soal siasat berhubung empat serangan bom di bandar pelancongan Hua Hin manakala suspek ketiga ditahan kerana disyaki membakar bangunan di wilayah berasingan.

“Siasatan kami masih menunjukkan kemajuan. Kami tahu siapa dalangnya,” kata timbalan jurucakap polis Thailand, Piyapan Pingmuang.


Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai identiti suspek atau motif.

Seorang jurucakap junta tentera, Winthai Suvaree mengesahkan beberapa individu ditahan untuk soal siasat, tetapi menegaskan terlalu awal untuk menamakan mereka sebagai suspek.

“Mereka hanya ditanya beberapa soalan. Mereka tidak dilayan sebagai suspek melainkan proses soal siasat selesai dan ada di antara mereka didapati melanggar undang-undang,” jelasnya.

Sekurang-kurangnya 11 serangan bom dan beberapa kebakaran berlaku di tujuh wilayah di selatan Thailand pada Khamis dan Jumaat lalu.

Kejadian itu menyebabkan empat penduduk tempatan maut dan lebih 30 orang lagi termasuk pelancong asing cedera.

Sementara itu, pihak berkuasa menemui dan berjaya mematikan lima lagi peranti lengkap dengan telefon bimbit dipercayai bom yang tidak meletup.

Kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan memberitahu, dua peranti ditemui di sebuah pasar di Hua Hin, semalam.

Pasukan pemusnah bom berjaya mematikan peranti berkenaan yang dipercayai diletakkan di lokasi itu sejak Rabu lalu.

Sebuah lagi bom yang diset untuk meletup pada jam 3 pagi, Jumaat lalu dijumpai di Phuket semalam dan berjaya dimatikan.

Dua lagi peranti ditemui di Phang Nga, berhampiran sebuah pasar yang dibakar dalam satu kejadian pada awal pagi Jumaat lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 11:59 AM

No comments:

Post a Comment