23 April 2013

Polis ketat kawalan sempadan


KUALA LUMPUR 21 April - Polis mengetatkan kawalan di sempadan negara khususnya di selatan Thailand iaitu di sepanjang pintu masuk dari Padang Besar, Kedah hingga ke Pengkalan Kubur, Kelantan bagi menyekat kemasukan pengundi dwi-kerakyatan pada hari mengundi, 5 Mei ini.
Menurut sumber, kebanyakan mereka yang tinggal di Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla akan masuk ke negara ini pada setiap kali pilihan raya, dipercayai untuk turut sama mengundi.
Tambahnya, perbuatan itu sekali gus mampu mempengaruhi ketelusan sistem pilihan raya di negara ini.
Kata sumber itu lagi, rata-rata mereka percaya dengan propaganda Pas bahawa masa depan untuk mendapatkan kemerdekaan kepada empat wilayah tersebut lebih cerah dengan mengundi Pas.
"Kita percaya rata-rata daripada mereka ini pro-pembangkang dan nekad untuk turut sama membuang undi setelah terpedaya dengan janji Pas untuk membantu mendapatkan kemerdekaan kepada wilayah bergolak yang didiami mereka," katanya di sini hari ini.
Menurut sumber itu lagi, melalui semakan yang dibuat mendapati kumpulan yang mempunyai dwi-kerakyatan tersebut turut menikmati banyak kemudahan yang diberi oleh kerajaan Persekutuan seperti subsidi baja dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dipercayai mereka akan kembali memasuki negara ini melalui beberapa pintu masuk sempadan jika kawalan tidak diperketat.
"Kerjasama juga telah diperoleh dari pihak berkuasa Thailand untuk menutup lorong-lorong tikus di sempadan negara berkenaan yang dipercayai sering digunakan golongan tersebut bagi menghalang mereka menyusup masuk ke Malaysia," katanya lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130422/px_41/Polis-ketat-kawalan-sempadan#ixzz38GqqAXgo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment