21 July 2013

Tunjukkan komitmen gencatan senjata


KUALA LUMPUR 19 Julai - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hari ini menggesa kerajaan dan masyarakat Islam di wilayah selatan Thailand menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap perjanjian gencatan senjata sepanjang bulan Ramadan ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas tiga anggota tentera cedera dalam dua dua serangan bom berlaku di Yala dan Narathiwat yang boleh mengancam gencatan senjata antara pihak berkuasa kerajaan dan Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, kedua-dua pihak perlu mematuhi prinsip asas perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui dan beliau berharap konflik di selatan Thailand boleh menemui jalan penyelesaian yang lebih baik.
Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Yingluck Sinawatra di Istanbul baru-baru ini, Ekmeleddin dimaklumkan tentang komitmen masyarakat Islam di Thailand terhadap perjanjian gencatan senjata yang menjadi topik utama perbincangan.
"OIC sudi bekerjasama dengan kerajaan Thailand bagi menamatkan konflik di selatan negara itu supaya keamanan, keselamatan, ekonomi dan pembangunan dapat dinikmati oleh semua pihak," katanya.
Dalam pada itu, Ekmeleddin turut mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan Thailand dan Malaysia untuk mewujudkan rundingan awal dengan BRN, yang mewakili masyarakat wilayah selatan Thailand.
Katanya, rundingan awal berkenaan merupakan usaha yang baik bagi menyelesaikan konflik di wilayah tersebut.
"Saya berharap perbincangan itu berjalan dengan lancar dan disertai oleh persatuan dan kumpulan lain yang mewakili masyarakat Islam di selatan Thailand," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130720/lu_08/Tunjukkan-komitmen-gencatan-senjata#ixzz38Gr10wCK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment