BUKIT KAYU HITAM - Penyebaran khabar angin mengenai sekatan kemasukan bas pelancong ke Thailand melalui sempadan Bukit Kayu Hitam- Thailand, dekat sini, hanyalah aduan palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Berita mengenai perkara itu turut diterima Sinar Harian yang mengatakan bas pelancong Malaysia ke Thailand tidak dibenarkan membawa penumpang ke negara itu berkuat kuasa 1 Ogos (semalam).

Tinjauan Sinar Harian di pintu sempadan kedua-dua negara itu mendapati pergerakan bas dari Malaysia masih seperti biasa termasuk bas ekspres.

Mereka tetap menjalankan rutin membawa penumpang ke Thailand seperti biasa.

Seorang pemandu bas persiaran yang mahu dikenali sebagai Ramesh, 39, berkata, bas persiaran dari Malaysia dikehendaki menurunkan penumpang di Hatyai sahaja.

Menurutnya, mereka tidak dibenarkan membawa penumpang dari Thailand untuk masuk ke Malaysia.

“Bas persiaran hanya dibenarkan membawa penumpang yang mengikut trip pelancongan yang kami adakan.

"Untuk mengambil penumpang biasa dari Thailand, hanya bas ekspres dibenarkan.

“Sehingga kini belum ada penguatkuasaan yang menghalang bas dari Malaysia masuk ke Thailand atau perlu menurunkan penumpang di sempadan sahaja. Kami ada juga dapat khabar angin tak dapat masuk ke Thailand, tapi mungkin hanya maklumat palsu,” katanya
kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, seorang pemandu bas ekspres yang enggan dikenali berkata, dia turut menerima khabar angin yang membabitkan sekatan kemasukan bas pelancong ke Thailand.

“Setakat hari ini (semalam) saya lihat bas persiaran masih beroperasi seperti biasa, cuma mereka tidak dibenarkan mengambil penumpang dari Thailand.

“Bagi bas ekspres tidak ada masalah, kami disediakan permit dan boleh ambil penumpang sama ada dari Malaysia atau Thailand. Perkara ini langsung tidak berbangkit dari kalangan pengusaha bas setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Shahrul Azhar Mat Dali ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada syarikat mengenai perkara itu.