25 August 2014

Rundingan damai di selatan Thailand tiada kesudahan


HATYAI digegarkan dengan letupan bom pada 6 Mei lalu.
Oleh Hassan Omar
Narathiwat, Yala dan Pattani tiga wilayah di selatan Thailand sudah menyaksikan ribuan nyawa manusia terkorban akibat konflik keyakinan dan keinginan untuk satu pihak menuntut kuasa, manakala satu pihak lagi bermati-matian ingin mengekalkan kuasa.
Krisis keyakinan dan tuntutan yang bertukar kepada tindakan mengangkat senjata demi kebebasan itu sudah berlangsung sejak tahun 1960-an dan menjadi semakin nyata sejak tahun 2004 apabila pelbagai kumpulan anggota masyarakat yang majoritinya Islam di ketiga-tiga wilayah berkenaan menzahirkan tuntutan mereka kepada Kerajaan Thailand dengan cara mengangkat senjata.
Dianggarkan kira-kira 6,000 nyawa sudah melayang akibat sengketa itu, selain kira-kira 8,000 yang cedera sama ada yang membabitkan anggota masyarakat Islam, Buddha atau anggota pasukan keselamatan Thailand.
Bawa pihak bertelagah ke meja rundingan
Bukan tidak ada usaha untuk masyarakat Islam di Malaysia membantu menamatkan persengketaan itu. Sementara Kerajaan Malaysia berusaha membantu membawa pihak yang bertelagah ke meja rundingan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula berusaha membantu menyelesaikan krisis berkenaan dengan membincangkan pro dan kontra, tuntutan dan alasan pihak yang bertelagah dalam pelbagai sesi perbincangan.
Satu daripada sesi perbincangan itu ialah Seminar Ke Mana Proses Keamanan Selatan Thailand anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di Kuala Lumpur pada 12 November tahun lalu. Pembentang kertas kerja ialah Pengarah Forum dan Hubungan Antarabangsa Pattani, Don Pathan dan Felo Kanan ISIS, Bunn Nagara.
Seminar itu membincangkan isu pembangunan yang didakwa anggota masyarakat Islam di kawasan itu sebagai aspek yang dipinggirkan oleh Kerajaan Thailand. Hal berkenaan berbeza dengan pelbagai nikmat pembangunan yang dinikmati anggota masyarakat Buddha di utara Thailand, khususnya Bangkok.
Masyarakat Islam juga tidak dengan mudah melupakan peristiwa lebih 1,000 umat Islam dibunuh askar Thailand ketika mereka menjalani ibadah puasa, manakala Masjid Kerisek, Pattani rosak teruk akibat ditembak bertalu-talu pada 2004.
Umat Islam di Thailand dan Malaysia sayu apabila melihat jenazah terbabit disumbat dalam trak tentera tidak ubah seperti bangkai haiwan yang tidak bernilai. Perdana Menteri Thailand ketika itu, Thaksin Sinawatra berjanji akan menyiasat kejadian itu, tetapi tiada sebarang hasil hingga sekarang. Beliau akhirnya hilang kuasa akibat digulingkan pada tahun 2006.
Ada pelbagai kumpulan yang mendakwa mewakili kepentingan masyarakat Islam di selatan Thailand seperti Barisan Revolusi Nasional (BRN), Kumpulan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO), Pergerakan Mujahidin Pattani, Pergerakan Mujahidin Islam Pattani dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Pattani (PLNF), tetapi hanya BRN yang mendapat restu Kerajaan Thailand untuk berunding.
BRN buat pelbagai tuntutan
Bagaimanapun, BRN membuat pelbagai tuntutan seperti Kerajaan Thailand perlu menerima peranan Malaysia sebagai perantara kerajaan dalam rundingan damai dan bukannya fasilitator.
Selain itu, rundingan damai perlu dihadiri Melayu Pattani yang diketuai BRN dan Kerajaan Thailand, anggota ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
Pihak berkuasa Thailand juga perlu membebaskan semua suspek ditahan dan menggantung serta membatalkan semua waran tangkap membabitkan kes keselamatan nasional tanpa syarat. BRN perlu diiktiraf sebagai Pergerakan Pembebasan Pattani dan bukan kumpulan pemisah.
Rundingan damai itu bermula pada 1 Mac 2013 dengan Malaysia diwakili Naib Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang juga Fasilitator Kumpulan Kerja Proses Rundingan Damai Selatan Thailand, Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim,
Bagaimanapun, Kerajaan Thailand enggan menerima tuntutan berkenaan, menyebabkan keganasan terus berlaku. Dalam seminar itu, Don Pathan menyatakan beliau tidak pasti sama ada perjanjian damai mampu dimeterai dan pihaknya tidak faham apakah yang dikehendaki penduduk Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla.
Menurut Don, inisiatif untuk mewujudkan kedamaian di wilayah berkenaan sudah dibuat sejak tahun 2005 dengan menarik mereka ke meja rundingan, selain mendapat bantuan negara ASEAN pada Dialog Bogor 2007. Sebelum itu, perbincangan dibuat di Langkawi pada tahun 2005 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad masih Perdana Menteri.
Katanya, ketiadaan pembangunan ekonomi di wilayah berkenaan turut menyebabkan ia menjadi pusat penyeludupan, termasuk dadah dan senjata api.
Walaupun puluhan ribu tentera dikerah mengawal wilayah itu, tetapi sukar untuk memantau sepenuhnya kerana wujud pelbagai puak yang menguasai kawasan tertentu. Keadaan itu menyukarkan lagi proses keamanan kerana setiap kumpulan mempunyai kepentingan sendiri, dendam dan mahu dilihat sebagai wira.
Sementara itu, Bunn menjelaskan, kegagalan Kerajaan Thailand melihat punca sebenar masalah dan menghayati serta berusaha menyelesaikannya, menunjukkan ia tidak jujur dalam tindak-tanduknya.
Tiada program, peruntukan
Dari aspek pembangunan, kerajaan Thailand tidak menyediakan program dan peruntukan sewajarnya, sedangkan negara jiran khususnya Malaysia bersedia membantu.
Pada 22 Mei lalu, Jeneral Prayut Chan-O-Cha mengetuai rampasan kuasa daripada bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra. Bagaimanapun, Prayut menegaskan keamanan di selatan negara itu adalah 'keutamaan mendesak' bagi negara berkenaan dan mahu langkah lebih tegas diambil bagi memastikan keamanan dicapai.
Walaupun Thailand diletakkan di bawah pemerintahan tentera, junta tentera tetap membenarkan Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam (NCPO) meneruskan rundingan dengan kumpulan di selatan Thailand, tetapi dengan beberapa perubahan proses yang mesti mematuhi Perlembagaan Thailand. Dalam keadaan Thailand masih belum mampu mengadakan pilihan raya akibat rampasan kuasa itu, rundingan damai antara Kerajaan Thailand dengan kumpulan pejuang diketuai BRN yang dimeterai di Kuala Lumpur pada 28 Februari 2013 masih belum dapat dimulakan.
Mengupas mengenai kemelut itu, Ahmad Zamzamin menjelaskan, penduduk selatan Thailand tidak mahu masyarakat majoriti Thailand di utara menggelar mereka pengganas, pemisah atau pemberontak, tetapi pejuang yang mahu membebaskan diri daripada ditindas, ketidakadilan dan kekejaman.
Tuntutan majoriti masyarakat di Thailand
Satu daripada tuntutan mereka, iaitu pengiktirafan hak ketuanan mempunyai maksud amat luas, sama ada dari aspek hak beragama, pendidikan dan ekonomi. Bagaimanapun, mereka juga perlu membuktikan kesungguhan untuk berunding.
Struktur pejuang, termasuk BRN yang amat rumit difahami, selain banyak kumpulan lain termasuk tiga jenis kumpulan, iaitu PULO, Barisan Islam Pembebasan Pattani (BIPP) dan pecahan kumpulan pejuang kecil-kecilan menyukarkan proses damai kerana ada yang menyokong dan menentang.
Penulis ialah antara delegasi media yang dijemput Kementerian Luar Thailand untuk melawat selatan Thailand mulai hari ini hingga 30 Ogos

No comments:

Post a Comment