20 January 2014

Melayu Patani tercicir pelajaran


KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kira-kira 25 peratus daripada dua juta masyarakat keturunan Melayu Patani yang menetap di negara ini masih tercicir dari sistem pendidikan formal.
Pengerusi Pertubuhan Keturunan Patoni Malaysia (Patom), Muhammad Awang berkata, kebanyakan kes keciciran itu berpunca daripada kesempitan hidup selain ibu bapa mereka masih belum mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, walaupun sudah lama menetap di negara ini, masih ramai dalam kalangan masyarakat keturunan Melayu Patani memegang status penduduk sementara atau masih belum mempunyai dokumen yang sah.
"Ada ibu bapa yang sudah menetap di sini berpuluh-puluh tahun tetapi mereka masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah sebagai warganegara yang telah menyukarkan anak-anak mendapatkan pendidikan formal di sini.
"Jadi, kita berharap agar kerajaan dapat memberikan perhatian untuk membantu anak-anak keturunan Melayu Patani ini supaya mereka tidak terus tercicir daripada pelajaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Ulang Tahun Pertama Patom, di sini hari ini.
Patom yang ditubuhkan pada Januari tahun lalu mempunyai keahlian seramai 6,000 orang di seluruh negara.
Sementara itu, Awang menjelaskan, sebelum ini, kebanyakan anak keturunan Melayu Patani hanya mendapat pendidikan agama di sekolah pondok di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
"Mereka sukar mendapat tempat dalam sistem pendidikan formal dan hanya boleh belajar agama di sekolah pondok yang sudah tentu menyempitkan masa depan anak-anak Melayu Patani ini.
"Oleh itu, bagi memastikan mereka tidak terus tercicir daripada pendidikan, kita menubuhkan Maahad As-Sobirin pada tahun lalu untuk membantu ibu bapa memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka," jelasnya.
Dalam pada itu, Awang berkata, orang ramai yang ingin memberikan bantuan kepada anak-anak keturunan Melayu Patani boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 5622-4550-3340 atas nama Pertubuhan Keturunan Patoni Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140119/dn_09/Melayu-Patani-tercicir-pelajaran#ixzz38Ff95vdt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment