25 December 2013

RKK dalangi insiden letupan?



Dua anggota polis forensik Thailand memeriksa kesan kerosakan akibat letupan bom di hadapan Hotel Oliver, Danok, selatan Thailand semalam.
SADAO, Selatan Thailand 23 Dis. - Pihak berkuasa Thailand percaya kejadian letupan di empat lokasi di pekan sempadan Danok dan Padang Besar, dekat sini yang mencederakan lebih 24 mangsa semalam, adalah angkara kumpulan pengganas.
Gabenor Wilayah Songkhla, Kritsada Boonrach berkata, siasatan awal pihak keselamatan mendapati insiden berkenaan didalangi oleh puak pemisah selatan Thailand iaitu Kumpulan Ronda Kecil (RKK).
Katanya, modus operandi kumpulan terbabit adalah sama seperti kebanyakan kejadian terdahulu iaitu memasang bom pada kereta dan meletakkan di hadapan hotel atau lokasi tumpuan awam sebelum meletupkan dengan menggunakan alat kawalan jauh.
"Kita percaya kejadian terbaharu ini bertujuan menarik perhatian kerajaan Thailand agar menjadikan kawasan Sadao sebagai kawasan tuntutan kumpulan pemisah seperti mana tiga wilayah sempadan selatan lain iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi letupan bersama Ketua Polis Wilayah Songkhla, Mejar Jeneral Aikkaphob Prasitwatanachai di sini hari ini.
Kritsada berkata, ekoran kejadian itu, polis dan pasukan keselamatan lain telah meningkatkan kawalan keselamatan di semua kawasan tumpuan orang ramai di wilayah berkenaan dan seluruh selatan Thailand.
Tambah beliau, pihaknya tidak menyangka bahawa kumpulan terbabit melakukan insiden pengeboman di kawasan Sadao memandangkan keadaan di situ aman sebelum ini.
"Sebelum ini memang ada maklumat bahawa pengganas mungkin melakukan serangan di kawasan sempadan, kita hanya ambil langkah berjaga-jaga tetapi ternyata tidak memadai," jelasnya.
Sementara itu, Aikkaphob berkata, pihaknya turut menyiasat lebih lanjut penglibatan kumpulan-kumpulan yang dikatakan mempunyai kepentingan dalam perniagaan haram di kawasan sempadan.
"Setakat ini kita percaya ia dilakukan oleh kumpulan pemisah. Namun, kita juga melihat kepada aspek-aspek lain termasuk wujudnya pertelingkahan antara kumpulan yang menjalankan perniagaan haram seperti menyeludup minyak dan sindiket lain," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan insiden tersebut berpunca daripada pertelingkahan politik melibatkan parti pemerintah dengan kumpulan anti-kerajaan yang diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban.
Jurucakap tentera Thailand, Kolonel Banphot Poonpien berkata, pihaknya percaya insiden pengeboman di bandar sempadan terbabit bertujuan menarik perhatian tentera agar campur tangan dengan meletakkan kawasan Sadao di bawah kuasa darurat seperti tiga wilayah selatan lain.
Semalam, sebanyak 24 orang dilaporkan cedera dalam salah satu daripada empat kejadian letupan bom yang menggegarkan bandar sempadan Danok dan Padang Besar dekat sini.
Bagaimanapun, tiada rakyat Malaysia cedera dalam insiden letupan di kedua-dua bandar kecil yang popular dengan pelancong itu
Utusan Malaysia pada 6 April 2012 melaporkan pekan Danok yang terletak bersebelahan dengan Bukit Kayu Hitam, dekat Changlun berkemungkinan besar menjadi sasaran serangan pengganas. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131224/dn_02/RKK-dalangi-insiden-letupan?#ixzz38GVrqusO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment