24 January 2014

Perintah darurat dicabuli


Sebahagian penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di pekarangan bangunan Kementerian Pertahanan di Bangkok, Thailand, semalam, sementara (gambar kecil) Kwanchai Praipana, dibawa ke bilik rawatan selepas mengalami kecederaan akibat ditembak di Hospital Aek Udon, Udon Thani. - REUTERS
BANGKOK 22 Jan. - Penunjuk perasaan antikerajaan Thailand tidak menghiraukan perintah darurat yang dikuat kuasakan kerajaan dengan terus mengadakan demonstrasi di pejabat-pejabat utama kerajaan termasuk di Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand, hari ini.
Malah, perintah darurat selama 60 hari itu turut 'dicemari' dengan insiden tembakan membabitkan pemimpin utama kumpulan Baju Merah, Kwanchai Praipana yang cedera parah terkena tembakan rambang dilepaskan lelaki bersenjata di rumahnya di wilayah Udon Thani.
Di Bangkok, ribuan penunjuk perasaan tidak mematuhi perintah darurat yang berkuat kuasa hari ini, dengan berarak ke Kementerian Pertahanan, yang juga ibu pejabat bagi kerajaan sementara pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Penunjuk perasaan tiba di bangunan itu pada pukul 10.20 pagi manakala Yingluck, yang tiba kira-kira 30 minit lebih awal, terpaksa meninggalkan bangunan itu selepas penunjuk perasaan mula mengelilingi premis berkenaan.
Kumpulan antikerajaan itu turut mendesak tentera supaya menyebelahi mereka.
"Kami tidak mengambil peduli perintah darurat dan akan meneruskan bantahan seperti biasa,'' kata jurucakap bantahan, Akanat Promphan.
Kumpulan tunjuk perasaan lain, yang diketuai Rangkaian Pelajar dan Rakyat Bagi Pembaharuan Thailand berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand.
Kumpulan itu mendesak Ketua Polis Negara, Jeneral Adun Saengsingkeow meletak jawatan atas dakwaan bahawa pihak polis bersetuju mengenakan perintah darurat dan bukan tentera.
Selain itu, tunjuk perasaan antikerajaan anjuran Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) turut diadakan di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat hingga menyebabkan banyak pejabat kerajaan terpaksa ditutup.
Dalam pada itu, Kwanchai cedera parah akibat terkena dua das tembakan seorang lelaki bersenjatakan raifal M16 yang melepaskan tembakan ke arah rumahnya.
Beliau kemudiannya dimasukkan ke Hospital Aek Udon bagi menerima rawatan kecemasan selepas dipercayai terkena tembakan di bahagian tangan dan kaki.
Menurut Bangkok Post, serangan itu berlaku pada pukul 10.30 pagi ini sewaktu Kwanchai sedang membaca surat khabar.
Polis menemukan sebanyak 30 butir kelonsong peluru berhampiran pagar rumahnya, namun mereka tidak dapat menganggarkan jumlah sebenar suspek terlibat. - BERNAMA/AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140123/lu_03/Perintah--darurat--dicabuli#ixzz38GVc05ft
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment