26 October 2016

Wanita maut dalam serangan bom di Pattani




PASUKAN keselamatan memeriksa lokasi serangan bom di sebuah pasar di Pattani, kelmarin. - AFP

Pattani: Seorang wanita terbunuh dan 19 lagi cedera selepas sebutir bom meletup di sebuah pasar di sini petang kelmarin.

Serangan itu berlaku pada ulang tahun ke-12 tragedi Tai Bak yang menyaksikan berpuluh-puluh lelaki Islam maut ketika ditahan pihak berkuasa Thailand di Narathiwat.

Jurucakap polis, Yutthakarn Chitmanee berkata, sebutir bom yang diletakkan di luar sebuah kedai mi meletup kira-kira jam 7 petang (waktu tempatan).

“Seorang wanita terbunuh manakala 19 mangsa termasuk seorang sami Buddha cedera.

“Polis masih menyiasat dan berusaha mencari dalang serangan berkenaan,” katanya.

Saksi memberitahu, letupan berlaku ketika kedai dan kawasan pasar berkenaan sibuk dengan orang ramai yang makan malam.

Seorang jurugambar AFP yang berada di lokasi kejadian melihat ramai mangsa yang cedera termasuk mereka yang parah.

Letupan kuat menyebabkan kedai mi berkenaan rosak teruk.

Pada 25 Oktober 2004, seramai 85 lelaki Islam di Narathiwat maut, kebanyakannya akibat lemas selepas diikat sebelum dimasukkan ke dalam lori yang sesak oleh askar Thailand.

Tragedi yang berlaku di Tai Bak itu mencetuskan keganasan di wilayah berkenaan yang kini sudah meragut lebih 6,600 nyawa. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 10:20 AM

No comments:

Post a Comment