Laman web Bangkok Post memetik laporan Ketua Institut Sains Forensik, Porntip Rojanasunan sebagai berkata, pihaknya menemukan unsur kimia mangan dan arsenik di dalam 329 daripada 600 sampel darah penduduk tempatan yang me­netap di daerah Thap Khlo.
Porntip menganggarkan, 6,000 penduduk mungkin dicemari dengan unsur kimia tersebut termasuk kadmium yang boleh didapati di sekitar empat kilometer dari tapak lombong berkenaan.
“Penemuan ini begitu membimbangkan,” jelasnya ketika menjadi tetamu dalam program berita FM106, semalam.
Mangan boleh mengakibatkan masalah saraf dan Parkinson jika seseorang terdedah secara berterus­an terhadap bahan itu, manakala arsenik pula akan menyebabkan sakit kepala, buta dan angin ahmar.
Kata Porntip lagi, kajian yang dijalankan oleh Universiti Rangsit menemukan tiga unsur berkenaan di dalam tanah, sayur-sayuran dan air kira-kira empat kilometer dari kawasan lombong.
“Kami perlu mengetahui sejauh mana unsur-unsur kimia ini telah tersebar. Kami menjumpai kadmium di sesetengah tumbuhan,” ujarnya lagi.
Ujian ke atas sampel darah ber­kenaan dilakukan pada hari Rabu dan kelmarin.
Ujian susulan pula akan dilakukan ke atas 40 orang penduduk yang dicemari dengan unsur kimia tersebut dalam masa terdekat bagi memastikan sama ada terdapat bahan toksik lain di dalam badan mereka.