Kesemua individu itu didapati bersalah oleh Mahkamah Wilayah Pattani, kelmarin kerana menembak mati empat anggota tentera pada Julai tahun lalu, lapor akhbar Thai Rath.
Defen­dan yang dijatuhi hukuman mati dikenali sebagai Ismail Daong, Masahadi Methor, Gordae Jatae, Nimuhammud Niseng dan Hisbulloh Buesa.
“Hukuman mati mencabul hak asasi manusia tidak akan membantu membendung gelombang keganasan di selatan Thai,’’ kata Pengarah Penyelidikan Amnesty International Asia Tenggara, Rupert Abbott.
Jurucakap Persekutuan Antarabangsa Hak Asasi Manusia (FIDH), Andrea Giorgetta pula berkata, Thailand kerap kali menyatakan komitmen untuk memansuhkan hukuman mati, namun janji itu tidak diterjemahkan dengan perbuatan.
Menurut FIDH, terdapat 623 tahanan (572 lelaki, 51 wanita) dijatuhi hukuman mati di Thailand setakat 31 Ogos lalu dengan kebanyakan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.
Kali terakhir hukuman mati dilaksanakan di Thailand adalah pada 2009 apabila dua lelaki disabit kesalahan menyeludup dadah, menjalani hukuman menerusi kaedah suntikan maut. – AFP