6 November 2014

PM Thai sedia timbang tarik balik undang-undang tentera di beberapa wilayah

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha bersedia menimbang untuk menarik balik undang-undang tentera di beberapa wilayah di negara ini bagi merancakkan industri pelancongan dan ekonomi yang sedang dilanda kemelesetan, kata Timbalan Perdana Menteri, Wisanu Krue-ngam hari ini.
Tentera Thailand menguatkuasakan undang-undang tentera di seluruh negara pada Mei lalu, beberapa hari sebelum ia membuat rampasan kuasa bagi menamatkan keganasan tunjuk perasaan jalanan yang disasarkan terhadap Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Operator pelancongan sebelum ini berkali-kali menggesa kerajaan supaya memansuhkan undang-undang tentera bagi memulihkan imej negara berkenaan sebagai destinasi pelancongan tanpa masalah meningkatkan kehadiran pelancong yang menurun tujuh peratus pada September tahun sebelumnya.
Sektor pelancongan yang menyumbang hampir 10 peratus kepada ekonomi, mengalami kejatuhan terbesar pada Jun lalu, sebulan selepas pihak tentera mengambil alih kuasa.
Bulan lalu Prayuth menolak desakan daripada operator pelancongan untuk menarik balik undang-undang tentera atas alasan ia boleh menjejaskan usaha perdamaian politik.
Bagaimanapun, Wisanu berkata, Perdana Menteri sedang menimbang semula keputusan yang dibuatnya sebelum ini.
"Perdana Menteri bersedia menarik balik undang-undang tentera di beberapa kawasan di negara ini. "Kita mungkin dapat menarik balik undang-undang tentera di beberapa kawasan dan menggunakan undang-undang lain untuk mengawal keadaan," katanya. - Reuters

No comments:

Post a Comment