Anggota Dewan Negara yang mewakili masyarakat Siam, Senator Datuk Boon Som Inong berkata, walaupun sudah lama masyarakat Siam di negara ini berstatus Bumiputera, namun masih timbul masalah dalam urusan seperti pembelian rumah dan mengisi borang permohonan untuk jawatan dalam kerajaan.
"Walaupun sudah dinyatakan bahawa masyarakat Siam negara ini berstatus Bumiputera tetapi ia sebenarnya masih berada di bawah status 'lain-lain', contohnya dalam urusan pembelian rumah, permohonan mendapatkan pekerjaan, begitu juga bagi pelajar yang akan ke universiti.
"Saya juga berharap agar status 'lain-lain' dalam semua borang yang dikeluarkan oleh kerajaan, dapat dihapuskan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program ‘Long Short Walk’ peringkat Parlimen Jerai di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 5, Jalan Jeniang, di sini hari ini.
Boon Som berkata, keadaan yang berlaku itu menyebabkan timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat Siam berhubung status mereka sebagai Bumiputera sedangkan mereka merupakan antara penyokong kuat kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Jangan dianggap masyarakat Siam sebagai golongan minoriti sebaliknya sebagai satu bangsa Malaysia yang bersama-sama membangunkan negara, malah masyarakat Siam sebenarnya penyokong kuat BN.
"Saya tidak tahu kenapa perkara ini masih berlaku, mungkin kelemahan penguatkuasaannya memandangkan secara rasminya, tidak ada status Bumiputera dalam masyarakat Siam," katanya.
Boon Som berkata beliau bagaimanapun berterima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara), yang mengambil pelajar daripada kalangan masyarakat Siam sebagai pelajar tajaan serta memberikan mereka pinjaman baru-baru ini, dan berharap lebih banyak peluang sedemikian diberikan kepada masyarakat Siam. - BERNAMA