Laman web Bangkok Post melaporkan, keputusan tersebut diambil selepas Presiden NLA, Pornpetch Wichitcholachai meminta anggota dewan tersebut mengundi untuk menerima 28 bahan bukti yang mahu dikemukakan oleh Yingluck, dengan 165 daripada mereka menolak manakala 15 lagi menerima.
Semalam, Pornpetch menetapkan 9 Januari ini sebagai tarikh proses pendakwaan dimulakan di mana Suruhanjaya Anti Rasuah Kebangsaan (NACC) dan Yingluck perlu mengemukakan hujah pertama mereka.
Peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, Norawit Lahlaeng berkata, pihaknya perlu menyerahkan lebih banyak bahan bukti kepada NLA untuk dipertimbangkan dan 28 bukti terbabit adalah resolusi Kabinet yang dapat menolak dakwaan anak guamnya melakukan kecuaian ketika melaksanakan program tersebut.
Kata Norawit lagi, beliau memberitahu NLA bahawa keterangan tambahan yang mahu dikemukakan bukanlah satu perkara baharu, tetapi perkara tersebut tidak dibincangkan oleh NACC.
“Penting untuk NLA melihat kesemua bahan bukti yang mahu kami serahkan sebelum proses pendakwaan dimulakan,” jelas Norawit.
Bagaimanapun, seorang anggota NACC, Vicha Mahakhun berkata, bahan bukti yang dipersoalkan oleh pasukan peguam berkenaan sudah dimasukkan ke dalam laporan pendakwaan NACC, selain mendedahkan peguam Yingluck gagal menghantar 44 bahan bukti yang dibenarkan oleh pihaknya.