bendera thailand
BANGKOK - THAILAND. Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha, yang lawatannya ke wilayah timur laut negara ini dicemari bantahan kecil baru-baru ini, akan terus melawat wilayah lain termasuk kubu kuat Parti Pheu Thai yang beliau gulingkan pada Mei lepas.

"Perdana menteri masih boleh pergi ke mana sahaja kerana beliau tidak bertelagah dengan sesiapa. Perdana Menteri bekerja untuk rakyat Thailand," kata Jen Prawit Wongsuwarn, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, kepada media apabila ditanya sama ada Prayuth akan melawat wilayah lain berikutan bantahan itu. 

Beliau berkata: "Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam Kebangsaan (NCPO) dan anggota Kabinet juga bekerja untuk negara ini."
Jen Prawit berkata, beliau tidak bimbang tentang bantahan yang diadakan kerana kempen membantah rampasan kuasa tidak akan meluas memandangkan ia hanya melibatkan sekumpulan kecil daripada 67 juta penduduk Thailand.

Katanya, kerajaan memerlukan masa setahun untuk melaksanakan pembaharuan nasional sebelum mengadakan pilihan raya umum.

Kini, Thailand diletakkan di bawah undang-undang tentera.

Ketika Jeneral Prayuth berucap di wilayah Khonkaen semalam, lima pelajar universiti membantah rampasan kuasa dengan menyampaikan mesej melalui tabik tiga jari seperti yang dipaparkan dalam filem siri Hunger Games yang kini disiarkan melalui satu saluran televisyen berbayar.

Tanpa menghiraukan bantahan pelajar itu, Jen Prayuth meneruskan program lawatannya ke wilayah berhampiran selepas itu.

Wilayah Khonkaen dan Kalasin terletak di bahagian timur laut negara ini dan merupakan kubu kuat bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, adik Thaksin, digulingkan dalam rampasan kuasa oleh tentera Mei lepas. - Bernama