6 November 2014

Luka lama berdarah semula


Narathiwat: Sejak lapan tahun lalu Sudaporn Tangja bergelut dengan kesukaran hidup membesarkan dua anaknya selepas suaminya maut ditembak penyerang di selatan Thailand.

Dia bekerja keras bagi mencari rezeki apabila seorang daripada anaknya diterima memasuki universiti.

Belum sempat tragedi berdarah itu luput daripada ingatan, Sudaporn terpaksa berdepan realiti pahit sekali lagi apabila anak perempuannya pula ditembak Ahad lalu.

Mangsa, Suthida, baru berusia 20 tahun.

“Saya tidak pernah terfikir keganasan kembali berulang selepas suami saya, Prasan Tangja, terbunuh dalam serangan pada 2006,” katanya semalam.

Suthida sedang mengikuti pengajian di tahun kedua di Universiti Puteri Naradhiwas.

Dia sedang menaiki motosikal bersama dua rakan yang lain di Muang apabila ditembak di kepala dari belakang.

Suthida kini sedang terlantar di hospital akibat koma.

Menurut Sudaporn semalam, selepas kematian suaminya, Prasan, dia terpaksa meninggalkan rumah dan membuat pelbagai kerja di Surat Thani.

Hasil gajinya kemudian dikirim ke kampung untuk membiayai pembelajaran Suthida dan adik lelakinya yang kini berusia 14 tahun.

Katanya, dia pernah mengajak anak-anaknya berpindah namun mereka enggan.

“Anak saya tidak mahu berpindah dan kami menyangka keganasan tidak akan berlaku ke atas penduduk kampung seperti kami.

“Apabila saya dimaklumkan mengenai tragedi yang dialami Suthida, serta-merta segala kenangan terhadap suami kembali menjelma,” katanya dalam satu kenyataan.

Kini Sudaporn menghabiskan masa menemani Suthida di hospital sambil berharap anaknya itu kembali pulih.

“Kata doktor, kami perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:02 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6818#sthash.AExwlC3s.dpuf

No comments:

Post a Comment