Menurut laman web, nationmultimedia.com, guru Sekolah Ban Kuan Taen, Isara Chairitchok ditembak ketika berada di stesen minyak di Khok Pho di wilayah Pattani te­ngahari semalam oleh dua lelaki penunggang motosikal yang menya­mar sebagai pe­langgan.
Isara yang ditembak di ba­­hagian kepala dan belakang dihantar ke Hospital Pattani, namun gagal di­selamatkan menjadikan dia mang­sa guru yang ke-179 yang dibunuh dalam tempoh lebih sedekad.
Dalam kejadian berasingan, Sirirat Saechan, 35, dan Salinee Saethong, 55, ditembak mati selepas dua orang lelaki yang menunggang motosikal mengejar mereka di Le­buhraya 410 di daerah Betong, Yala.
Polis sedang menyiasat punca serangan sama ada dilakukan atas sebab peribadi atau konflik yang berlarutan di dua wilayah ber­kenaan.
Polis turut mengesyaki serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap kematian dua pemimpin pemisah di daerah Nong Chik.
Sementara itu, di Rueso, Narathiwat, seorang sukarelawan rondaan, Doloh Waesu cedera akibat letupan bom pagi semalam semasa meronda bersama lima yang lain.
Dalam perkembangan lain, jurucakap Perintah Operasi Keselamatan Dalaman, Kolonel Pramote Phromin berkata, dua pistol serta peluru dirampas dalam satu operasi yang diadakan di Ban Khok Node di Nong Chik, Jumaat lalu di mana dua anggota pemisah terbunuh.
Dua anggota pemisah itu, Russadi Baerohsamae, 33, dan Abdullohman Jehteh, 31, dikehendaki pihak berkuasa berkaitan kes keselamatan negara.