Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Pertahanan, Jeneral Prawit Wongsuwon berkata, 2016 merupakan tahun yang paling sesuai untuk Thailand mengadakan pilihan raya.
“Saya fikir 2016 tahun yang paling sesuai (diadakan pilihan raya). Jika Perlembagaan sudah di­siapkan, pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa,” jelas Prawit.
Kenyataan kedua-dua pemimpin junta itu, mencetuskan keresahan kepada para pelabur yang menggesa sistem demokrasi dikembalikan di Thailand selepas tentera melancarkan rampasan kuasa pada Mei lalu.
Perdana Menteri, Prayuth Chan-O-Cha, sebelum ini pernah berkata, kerajaan junta berhasrat untuk mengadakan pilihan raya sekitar Oktober tahun depan, sejurus selepas draf Perlembagaan baharu disiapkan.
Isu mengenai pilihan raya timbul selepas Menteri Kewangan, Sommai Phasee dalam satu temu bual bersama rangkaian televisyen BBC semalam berkata, mengembalikan semula sistem demokrasi di Thailand adalah tidak realistik sebelum pertengahan tahun 2016.
“Seperti yang pernah diumumkan oleh Perdana Menteri, kita perlukan masa setahun. Tapi pada pandangan saya pilihan raya mungkin akan diadakan dalam tempoh setahun enam bulan dari sekarang,” ujar Sommai.
Kenyataan Sommai itu dikeluarkan sehari selepas pegawai junta menolak kemungkinan perintah darurat yang mengharamkan sebarang perhimpunan parti-parti politik dan kuasa menahan mana-mana individu selama tujuh hari tanpa waran akan ditarik dalam masa terdekat. – AFP