4 September 2014

Kanak-kanak pelarian menderita di Thailand - HRW


Dua kanak-kanak yang sebahagian daripada pencari suaka politik duduk di dalam sebuah trak ketika pegawai imigresen Thailand mengiringi mereka ke sebuah mahkamah di Songkhla di selatan Thailand pada 15 Mac lalu. - AFP
BANGKOK 3 Sept. - Ribuan kanak-kanak pelarian yang kini ditempatkan di pusat tahanan yang kotor di Thailand dilaporkan sedang mengalami trauma yang serius, menurut satu laporan terbaharu yang dikeluarkan kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW).
Majalah Time melaporkan dokumen setebal 67 muka surat yang bertajuk 'Two Years With No Moon: Immigration Detention of Children in Thailand' diterbitkan semalam dengan menuduh Thailand melanggar hak asasi kanak-kanak, merosakkan kesihatan dan membahayakan perkembangan mereka.
"Kanak-kanak pendatang tanpa izin yang ditahan di Thailand sedang menderita dalam keadaan yang sangat kotor dan pusat tahanan mereka sesak tanpa mendapat makanan, pendidikan dan ruang untuk bersenam yang cukup.
"Tahanan dalam lokap bukannya tempat bagi kanak-kanak berkenaan,'' kata penulis laporan itu, Alice Farmer yang juga penyelidik hak asasi kanak-kanak kumpulan itu yang berpangkalan di New York City.
Menurut laporan itu, oleh kerana berlaku kekurangan mekanisme undang-undang dan kaedah lain yang membolehkan mereka dibebaskan, kebanyakan kanak-kanak itu ditahan bagi tempoh yang tidak pasti sehingga mencecah tempoh bertahun-tahun.
Pakar kanak-kanak berkata, terdapat sekurang-kurangnya 375,000 kanak-kanak terbabit di Thailand, jumlah terbesar berbanding Myanmar yang menyaksikan ribuan penduduk melarikan diri dari negara yang terlibat ekoran konflik etnik dan agama membabitkan etnik minoriti Rohingya.
Agak malang bagi mereka, Thailand tidak mengiktiraf Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai prosedur perlindungan mengakibatkan mereka yang ditahan mungkin diletakkan di pusat tahanan imigresen yang keadaannya sangat teruk.
Penyelidik HRW berkata, mereka mendapati kanak-kanak disumbatkan di dalam penjara yang sesak sehingga memaksa mereka tidur dalam keadaan duduk, malah ada di antara mereka ditempatkan dengan orang dewasa yang tidak dikenali sekali gus memungkinkan mereka didera secara seksual dan fizikal.
"Saya menemubual kanak-kanak yang takut terhadap tahanan lain yang mereka temui di lokap itu,'' kata Farmer kepada portal TIME dan menambah, keadaan di penjara itu melanggar standard minimum yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pusat tahanan.
Thailand sementara itu dalam maklum balas bertulis setebal tujuh muka surat kepada HRW menafikan mereka gagal menangani isu pelarian kanak-kanak dengan menegaskan penahanan sejumlah kecil kanak-kanak itu bukannya berpunca daripada dasar kerajaan.
"Sebaliknya ia berpunca daripada keutamaan ibu bapa kanak-kanak itu untuk bersama keluarga dan masalah logistik. Kerajaan Thailand akan mencuba sebaik mungkin untuk menempatkan dan memenuhi keperluan keluarga terbabit dan mengambil kira pertimbangan faktor kemanusiaan dan asas hak asasi manusia,'' kata kerajaan Thailand.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140904/lu_03/Kanak-kanak-pelarian-menderita-di-Thailand---HRW#ixzz3CHxcJsc4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment