12 September 2014

4 maut serangan pemisah di Pattani


ANGGOTA pasukan keselamatan Thailand mengangkat mayat salah seorang mangsa yang terbunuh dalam serangan yang disyaki dilakukan kumpulan pemisah di daerah Khok Pho, wilayah Pattani, untuk dihantar ke hospital, semalam. - REUTERS
BANGKOK 11 Sept. - Empat orang terkorban dan beberapa orang lagi cedera selepas sekumpulan lelaki yang disyaki pemisah bertindak menyerang sebuah bangunan kerajaan di selatan negara ini, hari ini.
Serangan di daerah Khok Pho, wilayah Pattani itu berlaku selepas kerajaan junta Thailand mengambil langkah untuk menyambung semula rundingan damai yang terhenti pada tahun lalu.
Seorang pegawai polis, Phonganan Suwanno berkata, beberapa orang anggota pemisah menaiki trak pikap dan motosikal tiba di sebuah pejabat kerajaan tengah hari tadi lalu melepaskan tembakan.
"Ketika kejadian semua orang sedang bekerja...suspek datang lalu melepaskan tembakan. Mereka turut meninggalkan dua buah beg berisi bom di luar bangunan yang meletup dan memusnahkan bahagian hadapan sebuah bangunan satu tingkat.
"Semua yang terkorban merupakan lelaki, dua daripadanya merupakan pegawai atasan kerajaan," jelas Phonganan.
Seorang komander polis tempatan mengesahkan angka korban tersebut dengan tiga daripada mereka merupakan kakitangan kerajaan, manakala seorang lagi orang awam.
Pemberontakan yang sudah berlanjutan selama berdekad-dekad di selatan negara ini serta berhampiran sempadan Malaysia sehingga kini sudah mengorbankan lebih 6,100 nyawa dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada orang awam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140912/lu_04/4-maut-serangan-pemisah-di-Pattani#ixzz3D3CYaCtQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment