22 September 2014

Jenazah tokoh keamanan Pattani dibawa pulang lusa


22 September 2014


PATTANI - THAILAND. - Jenazah Ahmad Somboon Bualuang, 64 tahun, iaitu tokoh keamanan di Pattani yang meninggal dunia semasa di Sweden, dijangka dibawa pulang ke Thailand, pada Rabu.

Ahmad meninggal dunia ketika dalam perjalanan dengan kereta api dari Copenhagen, Denmark ke Gothenburg, Sweden, bersama dua orang rakan pada 20 September lalu dalam misi mencari kedamaian di selatan Thailand.

Beliau adalah dalam rangka misi ke Jerman dan Sweden atas tugas Pengarah Korikolum Pembinaan Kedamaian di bawah King Pipok Institute untuk berbincang dengan wakil gerakan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) yang tinggal di sana untuk menyertai proses rundingan damai yang akan datang.

Ahmad berasal dari Kampung Pujud, Pattani, dan merupakan bekas ahli akademik di Prince of Songkla Universiti–PSU Pattani.

Beliau pernah dilantik oleh bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra sebagai ahli Jawatankuasa Bebas untuk Perdamaian untuk mencari penyelesaian konflik di selatan Thailand.

Sejak berlaku keganasan di wilayah sempadan selatan pada 2004, beliau bertungkus lumus mencari penyelesaian damai konflik tersebut dan sering kali ke Eropah dan Indonesia untuk bertemu dengan Kumpulan Gerakan Pembebasan Patani berbincang dalam mencari penyelesaian konflik secara damai.

Ahmad meninggalkan seorang isteri Laila Akeb-Urai, 45, dan lima orang anak – Julawang, 39, Nawawi, 33, Nik Amalina, 11, Wan Ismail, 9, dan Was Iskandar, 5 tahun.

Menurut anaknya Nawawi, Ahmad baru sahaja mengetahui bahawa dia menghidap penyakit jantung dua bulan lalu dan doktor menasihatinya supaya banyak berehat serta melarang keras melakukan perjalanan jauh.

Sebelum ke Eropah, beliau berada lima hari di Brunei dan dijadual pulang dari Eropah hari ini.

“Ayah dah niat bahawa kerja yang diamanahkan mesti mencapai kejayaan kerana apabila dia mencapai kejayaan ia adalah lebih besar manfaatnya kepada rakyat.

Jika dia mati ada orang lain pula yang menyambung kerja seperti ini yang jika tidak ada orang memulakan maka ia tidak boleh diteruskan,” kata Nawawi menjelaskan sikap ayahnya kepada Bernama.

Bagi Ramadon Panjor, Editor Deep South Watch dan juga aktivis kedamaian berkata “jika melihat kepada Islam, ini adalah kehendak Tuhan, dia mati dalam perjalanan dengan tugas yang dia cinta, yang dia tekun, dan bertungkus lumus hampir seumur hidup beliau.

Sementara itu, pada 9 September lalu, akhbar Bangkok Post memetik Ahmad sebagai berkata bahawa beliau percaya rundingan damai yang disambung semula mungkin menghasilkan keputusan konkrit memandangkan Perdana Menteri Jen Prayuth
Chan-ocha berkuasa penuh menyelesaikan masalah keganasan di wilayah selatan.  

Laporan itu berkata Ahmad juga meminta Prayuth melantik mereka yang benar-benar memahami masalah di wilayah selatan dan merundingkan proses di wilayah yang dilanda konflik untuk duduk dalam panel damai yang baharu yang juga mengandungi orang awam dan tentera.

Menurut laporan itu Ahmad mahu Prayuth mendengar pandangan jurucakap Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang menentang Jen Akanit Muansawat sebagai ketua delegasi Thailand. - Bernama

No comments:

Post a Comment