29 September 2014

Demokrasi Thailand semakin matang


Oleh Hassan Omar
KETIKA menjejakkan kaki di kota raya Bangkok, Thailand bersama 20 delegasi wartawan asing yang menyertai sesi lawatan ke negara itu di bawah kelolaan Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand, baru-baru ini, keadaannya sudah jauh berubah berbanding ketika pergolakan politik dari November 2013 hingga Mei lalu.
Tidak ada lagi puluhan ribu penunjuk perasaan berarak di jalan raya menuntut bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra meletak jawatan. Tiada lagi anggota tentera lengkap bersenjata berkawal di setiap pelosok kota raya itu.
Bangunan kerajaan yang sebelum ini terpaksa ditutup akibat diduduki kumpulan penunjuk perasaan yang diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban kini beroperasi seperti biasa. Bangunan Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand yang kami kunjungi beroperasi seperti biasa selepas terpaksa ditinggalkan oleh pegawai dan kakitangannya berikutan kepungan kumpulan penunjuk perasaan.
Lalu lintas lancar
Kawasan tumpuan penunjuk perasaan di tengah kota raya seperti 'Victory Memorial' dan 'Democracy Monument' serta 'Maboon Krong Center' tidak lagi sesak dengan puluhan ribu penunjuk perasaan. Yang ada ialah lalu lintas di kawasan berkenaan bergerak lancar berbanding disekat oleh kumpulan terbabit sebelum ini.
Keadaan itu memberi gambaran jelas bahawa kota raya Bangkok sekarang tidak lagi mengalami kacau bilau.
Segala kesukaran untuk meneruskan kehidupan yang membelenggu masyarakat di kota raya itu sudah terlerai apabila anggota tentera di bawah Ketua Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chanocha melakukan rampasan kuasa pada 22 Mei lalu dengan alasan untuk mengembalikan ketenteraman awam, selepas negara itu menghadapi kebuntuan politik selama enam bulan.
Sejak November lalu, penunjuk perasaan berhimpun di jalan raya bagi memaksa Yingluck meletak jawatan kerana mendakwa wanita terbabit menjadi proksi abangnya, Thaksin Shinawatra, iaitu bekas Perdana Menteri yang digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada tahun 2006. Thaksin kini hidup dalam buangan bagi mengelak hukuman penjara atas kesalahan rasuah.
Rampasan kuasa itu adalah yang ke-12 sejak pemerintahan beraja mutlak berakhir pada Jun 1932. Ketika itu Raja Prajadhipok bersetuju menerima polisi Raja Berperlembagaan berikutan rampasan kuasa oleh Jeneral Phrayol Phahol Pholphayuhasena yang dibantu parti politik pertama Thailand, Khana Ratsadon.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand yang juga jurucakap kementerian itu, Sek Hannamethee yang ditemui di kementerian berkenaan menjelaskan, kehidupan anggota masyarakat Bangkok kembali seperti biasa sejak tentera mengambil alih pentadbiran negara itu.
"Sejak Mei lalu, masyarakat di sini (Bangkok) kembali hidup seperti biasa. Ia berbeza ketika kota raya ini dipenuhi dengan puluhan ribu penunjuk perasaan hingga menyebabkan kegiatan ekonomi tidak dapat dijalankan dengan sempurna.
"Tiada pertumpahan darah berlaku ketika tentera mengambil alih kuasa. Segalanya berjalan dengan tenang. Selepas pelantikan Perdana Menteri yang baharu, Majlis Pembaharuan Kebangsaan (NRC) akan ditubuhkan dengan dianggotai oleh 250 ahli majlis.
"Majlis itu akan merangka pembaharuan dalam Perlembagaan Thailand dan pilihan raya umum akan diadakan pada Oktober 2015," katanya.
Perdana Menteri Thailand Ke-29
Prayuth yang dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri Thailand ke-29 pada 25 Ogos lalu akan membentuk Kabinet secepat mungkin menjelang hujung bulan ini. Beliau dilantik selepas menerima perkenan Raja Bhumibol Adulyadej.
Prayuth yang turut memikul tugas sebagai ketua Majlis Keamanan dan Ketenteraman Kebangsaan (NCPO) berikrar untuk bekerja keras dalam isu ekonomi dan sosial, sistem perundangan dan semua isu dalam usaha mempersiapkan negara itu untuk menerima perubahan yang membawa kemakmuran.
Beliau turut mengumumkan pilihan raya umum akan diadakan pada Oktober 2015 selepas beliau melaksanakan langkah menangani pelbagai masalah negara berkenaan.
NRC mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat Thailand. Ia terbukti apabila sekurang-kurangnya 7,000 orang mendaftar untuk menyertainya. NRC akan memberi tumpuan kepada 11 bidang pembaharuan, selain dijangka meluluskan Perlembagaan baharu pada tahun 2015.
Majlis yang bakal ditubuhkan pada bulan depan itu bertanggungjawab menggubal reformasi politik dan ekonomi, termasuk membentuk semula dasar tenaga, pendidikan, kesihatan awam, media dan seumpamanya.
Prayuth memberi peluang kepada segenap anggota masyarakat untuk menyertai NRC. Pemilihan terbuka itu membabitkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.
Sek juga menjelaskan, ekonomi Thailand tidak lumpuh sepenuhnya dengan pergolakan politik itu. Kini, pelbagai usaha dilaksanakan bagi merancakkan semula ekonomi Thailand yang sumber utama pendapatannya adalah daripada industri pelancongan.
"Kami dalam proses untuk memperkukuh semula demokrasi. Selain itu, kami juga berusaha meneguhkan semula keyakinan pelabur asing untuk mengekalkan perniagaan mereka di sini," katanya.
Mengenai hubungan dua hala dengan Malaysia, Sek menjelaskan, Thailand amat menghargai keharmonian hubungan diplomatik dengan jirannya. Kemakmuran ekonomi dan politik Malaysia amat penting untuk membantu kestabilan politik negara berkenaan.
"Malaysia antara rakan perdagangan terbesar Thailand. Kami sentiasa berusaha memelihara hubungan baik dengan Malaysia. Kemakmuran ekonomi negara jiran amat penting untuk menjamin kemakmuran kami. Begitu juga sebaliknya." jelasnya.
Keadaan Bangkok yang kembali tenang turut dijelaskan oleh Timbalan Setiausaha Tetap kementerian itu, Narong Sasithorn dengan menekankan bahawa pilihan raya umum Thailand akan diadakan selewat-lewatnya pada Oktober 2015 bagi mengembalikan kuasa pentadbiran negara kepada masyarakat awam.
"Ketika kumpulan penunjuk perasaan menguasai Bangkok, mereka mengepung bangunan kementerian ini. Mereka meminta kami mengosongkan bangunan. Kami terpaksa beroperasi di sebuah hotel kerana hubungan luar dengan negara asing tidak boleh dihentikan.
"Selepas pemimpin tentera, Jeneral Prayuth dilantik menjadi Perdana Menteri, negara kami sekarang merangka Perlembagaan baharu dalam tempoh 10 bulan menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya.
Beliau menjelaskan berikutan keadaan politik semakin buruk mulai Februari lalu, kebanyakan pelabur asing menyatakan kebimbangan mereka untuk terus menanam modal di negara itu, sekali gus menyebabkan ekonomi terjejas.
Ekonomi Thailand diramal berkembang 3.5 peratus
Rampasan kuasa tentera menyebabkan ekonomi Thailand diramalkan berkembang hanya pada kadar 3.5 peratus tahun ini, tetapi dijangka kembali mencatatkan pertumbuhan antara lima hingga enam peratus tahun depan.
Bagaimanapun, keadaan sekarang bertambah stabil kerana pentadbiran junta tentera tidak mengganggu kegiatan ekonomi sektor swasta dan kerajaan, sebaliknya menyeru semua pihak supaya beroperasi seperti biasa sementara junta berusaha mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.
"Peristiwa pada 22 Mei lalu (rampasan kuasa tentera) adalah untuk mengembalikan kestabilan politik selepas pihak yang bertelagah gagal menyelesaikan masalah mereka.
"Kami yakin keadaan bertambah baik selepas ini. Walaupun kerajaan sekarang bukan dikuasai masyarakat awam, ekonomi negara terus mencatatkan tanda positif untuk pulih," katanya.
Berdasarkan tindakan tentera Thailand di bawah pimpinan Prayuth mengambil alih pentadbiran negara itu secara 'lembut,' kebanyakan rakyatnya menaruh harapan keamanan dan keharmonian bukan setakat mampu dikekalkan, malah membawa negara berkenaan ke arah demokrasi yang lebih baik melalui pembaharuan dalam Perlembagaan.
Dengan memberi tempoh sehingga Oktober 2015, Thailand di bawah kepemimpinan Prayuth diyakini terus stabil dari aspek politik, tetapi kemajuan dari aspek ekonomi tidak akan pulih dalam sekelip mata. Sebaliknya, ia memerlukan masa untuk negara itu untuk kembali mencatatkan pertumbuhan lebih positif.
Dengan penduduk 67.3 juta, rakyat Thailand amat berharap Prayuth mampu membawa kestabilan politik dan ekonomi selepas pergolakan politik sejak lapan tahun lalu menyaksikan Perdana Menteri negara itu silih berganti yang akhirnya terpaksa diselesaikan melalui campur tangan tentera.
Sehubungan itu, meskipun dari satu aspek rampasan kuasa tentera disifatkan sebagai mencacatkan demokrasi, ia juga menyediakan peluang untuk rakyat Thailand membina semula demokrasi melalui ruang yang lebih luas dan tersusun melalui pilihan raya umum menjelang Oktober tahun depan.

No comments:

Post a Comment