5 September 2014

Perdana Menteri Thailand pelawa rakyat sertai NRC


Prayuth Chan-ocha
BANGKOK 4 Sept. - Perdana Menteri baharu Thailand, Prayuth Chan-ocha berkata, rakyat Thailand daripada seluruh lapisan masyarakat akan diberi peluang untuk dilantik menganggotai Majlis Peralihan Kebangsaan (NRC), yang dibentuk bagi memulihkan semula situasi politik di negara ini.
Majlis itu dianggotai seramai 250 orang.
Prayuth berkata, proses bagi me-lantik anggota NRC itu, yang bertanggungjawab membentuk draf perubahan undang-undang dan ekonomi, termasuk memperkukuhkan polisi dasar tenaga, pendidikan, kesihatan awam dan media kini sudahpun bermula.
"Kami mahukan seseorang yang betul-betul boleh bekerja dan kami tidak akan mengetepikan sesiapa. Kami mahu individu yang datang daripada latar belakang yang berbeza.
"Jawatankuasa akan melakukan pemilihan dengan berhati-hati dan telus," jelas Prayuth.
Penubuhan majlis tersebut sejajar dengan kehendak penunjuk perasaan anti-kerajaan yang mahukan perubahan politik, sehingga bertindak berkumpul di jalan-jalan raya selama enam bulan bagi menyatakan bantahan mereka terhadap pentadbiran bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Sehingga kini lebih 7,000 orang sudah mendaftar untuk menyertai NRC yang memberi tumpuan kepada 11 bidang pembaharuan.
NRC juga merancang untuk menggubal Perlembagaan baharu Thailand yang dijangka dibentangkan selewat-lewatnya pada 2015.
Tambah Prayuth, pilihan raya umum dijangka diadakan pada Oktober 2015 dan masa yang ada akan digunakan untuk menyelesaikan beberapa masalah yang timbul.
"Rasuah, ekonomi, cukai,... pencerobohan hutan... selepas semua masalah ini diatasi saya akan mengadakan pilihan raya," ujarnya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140905/lu_07/Perdana-Menteri-Thailand-pelawa-rakyat-sertai-NRC#ixzz3CNplWNj4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment