5 September 2014

Keyakinan pengguna Thai meningkat pada Ogos


4 September 2014


BANGKOK - THAILAND . Pengguna Thailand semakin yakin bahawa negara akan berada pada kedudukan yang lebih baik pada masa depan.
 
Indeks keyakinan pengguna (CCI) Thai kini pada tahap tertinggi dalam tempoh 13 bulan, meningkat kepada 80.1 mata pada Ogos daripada 78.2 mata pada Julai, menurut University of Thailand Chamber of Commerce (UTCC).
 
Peningkatan keyakinan pengguna pada Ogos disumbangkan oleh pelantikan Perdana Menteri baharu (Jeneral Prayuth Chan-ocha) dan juga kabinet baharu yang akan mentadbir negara.
 
Faktor lain ialah pengurangan harga minyak dalam pasaran domestik, jangkaan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada tahun depan, keputusan untuk mengekalkan kadar faedah, prestasi pasaran saham yang lebih kukuh dan kenaikan baht.
 
UTCC turut mendapati pengguna mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap pertumbuhan ekonomi akan datang, langkah-langkah rangsangan ekonomi dan penyelesaian penurunan produk pertanian terutamanya beras dan getah, secepat mungkin.
 
Pengarah Pusat Unjuran Perniagaan dan Ekonomi UTCC Thanavath Phonvichai, mahu melihat kerajaan baharu mengeluarkan bajet dengan cepat bagi merangsang ekonomi.
 
Beliau menjelaskan penurunan harga beras adalah membimbangkan kerana sektor tersebut melibatkan sebahagian besar jumlah penduduk.
 
Katanya, penurunan harga getah akan menjejaskan kuasa membeli rakyat di kebanyakan kawasan di selatan, utara dan timur laut Thailand.
 
Memandangkan situasi politik negara kini stabil, UTCC menjangkakan keyakinan pengguna akan meningkat di masa depan, kecuali konflik luaran seperti krisis Rusia-Ukraine menjadi lebih serius. - Bernama

No comments:

Post a Comment