BANGKOK - THAILAND. Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha, semalam memaklumkan Majlis Pembaharuan Nasional (NRC) akan dianggotai pelbagai lapisan masyarakat bagi menjayakan perubahan politik dan meluluskan Perlembagaan baharu negara itu.

Menurut Prayuth, NRC bertanggungjawab untuk membuat draf pembaharuan politik dan ekonomi termasuk membentuk semula dasar tenaga, pendidikan, kesihatan awam, media serta isu lain.

"Kami tidak akan mengetepikan sesiapa untuk menganggotai NRC. Bagaimanapun, jawatankuasa perlu melakukan pemilihan secara telus dan teliti," jelasnya dipetik Reuters

Sehingga kini, lebih 7,000 individu telah mendaftar untuk menyertai jawatankuasa tersebut yang akan memberi tumpuan kepada 11 pembaharuan di Thailand.

Media tempatan melaporkan NRC dijangka meluluskan Perlembagaan baharu pada tahun hadapan.