10 September 2014

Prayuth, Najib bincang isu pemisah


SEBUAH topi keledar terbiar di atas jalan raya ketika anggota keselamatan Thailand memeriksa lokasi serangan bom di wilayah Thailand pada 28 Ogos lalu yang mengorbankan seorang guru dan mencederakan dua yang lain. - REUTERS
BANGKOK 9 Sept. - Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha dijangka membincangkan isu rundingan damai antara kerajaan dan kumpulan pemisah di selatan negara ini dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa lawatan rasminya ke Kuala Lumpur pada bulan depan.
Penasihat Majlis Keselamatan Negara (NSC), Jeneral Akanit Muansawat berkata, rancangan pertemuan antara Prayuth dan Najib akan menandakan satu langkah utama dalam usaha kerajaan Thailand meneruskan rundingan dengan kumpulan pemisah.
Kenyataan Akanit itu menyusul selepas ketua NSC, Thawil Pliensri mengadakan lawatan dua hari ke Malaysia bermula hari ini bagi membuat aturan untuk menghidupkan semula proses dialog damai dengan kumpulan pemisah tersebut.
Lawatan Prayuth ke Malaysia akan diadakan pada Oktober ini, selepas beliau bersara sebagai ketua tentera negara ini.
Akanit yang disebut-sebut mengetuai pasukan Bangkok pada rundingan damai itu berkata, perubahan akan dibuat pada kedua-dua delegasi dan pendekatan kepada perbincangan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan Prayuth adalah untuk mengadakan perbincangan dengan setiap kumpulan pemisah berbanding hanya melibatkan satu atau dua kumpulan sahaja.
Katanya, rundingan itu juga mungkin diadakan secara rahsia bagi mengurang atau mengelakkan mana-mana kumpulan daripada menetapkan syarat tertentu.
"Satu pasukan baharu akan dilantik oleh Prayuth yang akan dianggotai tujuh orang, berbeza daripada 15 orang sebelum ini. Sebuah pasukan kecil adalah lebih fleksibel,'' kata Akanit sebagaimana lapor, Bangkok Post, semalam.
Akanit, bagaimanapun enggan mengulas andaian beliau akan mengetuai delegasi Thailand, namun menyatakan bahawa Thawil akan mengetuai pasukan peringkat dasar.
Tambahnya, orang ramai akan dimaklumkan tentang perkembangan rundingan damai itu, namun menegaskan bahawa butiran-butiran sensitif akan dirahsiakan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140910/lu_03/Prayuth-Najib-bincang-isu-pemisah#ixzz3CrGpzN5x
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment