13 September 2014

Landasan kereta api dibom


PASUKAN keselamatan Thailand memeriksa landasan kereta api yang rosak akibat letupan bom di daerah Rangea, wilayah Narathiwat, semalam.
BANGKOK 12 Sept. - Belum sampai 24 jam, insiden serangan ke atas bangunan kerajaan di selatan negara ini semalam, awal pagi ini perkhidmatan kereta api selatan negara ini pula tergendala akibat letupan bom, menyebabkan landasan kereta api rosak teruk di wilayah sempadan Narathiwat.
Menurut laman web bangkokpost.com, letupan bom itu berlaku di Kampung Tangyong Limor di daerah kecil Pangae pada kira-kira pukul 6.30 pagi ini.
Letupan itu menyebabkan terbentuk lubang sedalam satu meter dan tiga meter lebar di kawasan landasan tersebut.
Kerosakan itu juga menyebabkan perkhidmatan 14 kereta api tergendala antara stesen Tanyongmas dan stesen Cho Airong.
Perkhidmatan kereta api dari Hat Yai di wilayah Songkhla tidak dapat tiba ke Sungai Kolok daerah Narathiwat dan terpaksa berhenti di Stesen Tanyongmas, manakala kereta api dari Sungai Kolok terpaksa berhenti di Stesen Cho Airong dan menggunakan perkhidmatan bas untuk mengangkut penumpang yang terlibat.
Sarjan Dusadee Khongpat berkata, bom itu ditanam di bawah landasan dan meletup ketika beliau mengetuai rondaan bersama lima anggota dan tiga sukarelawan kampung untuk membuat pemeriksaan landasan itu sebelum kedatangan kereta api dari Sungai Kolok ke wilayah Surat Thani.
Beliau berkata, bom itu diletupkan tanpa menggunakan wayar dan penyerang kemungkinan bersembunyi di dalam hutan berhampiran landasan kereta api.
Pakar bom mendapati kawasan tersebut kini selamat dan sebuah helikopter digunakan untuk meninjau kawasan sekitar sambil memberi amaran kepada kumpulan pemisah.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140913/lu_03/Landasan-kereta-api-dibom#ixzz3D8yQkyIS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment