3 December 2014

Tiga serah diri

Vajiralongkorn dan Srimiras
Bangkok: Dua pegawai tentera dan seorang awam menyerah diri bagi membantu siasatan rasuah membabitkan pegawai polis berpangkat tinggi dan anggota keluarga Puteri Srirasmi, isteri Putera Mahkota Thai.
Timbalan ketua polis metropolitan Major Jeneral Chanthep Saesawat berkata, tiga suspek terbaru itu dikenal pasti sebagai Witthaya Theskhunthot dan dua pegawai tentera Sarjan Nathakorn Yasri serta Sarjan Thiraphong Chochampi.
“Dua pegawai terbabit kini ditahan pihak tentera manakala orang awam berkenaan di dalam tahanan polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiga hari lalu, Vajiralongkorn meminta kerajaan membuang nama diraja itu daripada keluarga Srirasmi.
Minggu lalu beberapa pegawai kanan polis dan orang awam ditahan dalam siasatan dakwaan rasuah polis yang merangkumi pelbagai tuduhan termasuk rasuah dan memfitnah monarki.
Antara yang ditahan termasuk tiga orang menggunakan nama keluarga diraja Akrapongpreecha yang diberikan kepada keluarga Srirasmi selepas perkahwinannya kepada Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn pada 2001.
Polis menamakan bekas ketua biro siasatan pusat Leftenan Jeneral Pongpat Chayapan sebagai dalangnya. Dia dan beberapa yang lain menghadapi tuduhan derhaka kerana didakwa menggunakan nama raja untuk kepentingan peribadi.
Semua suspek tidak dibenarkan mengulas tuduhan mereka yang merangkumi penyeludupan minyak dan pengubahan wang haram.
Srirasmi adalah isteri ketiga Vajiralongkorn dan ibu pewarisnya, Putera Dipangkorn Rasmijoti. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 7:31 AM




.

No comments:

Post a Comment