Portal berita The Nation, yang memetik kenyataan sumber keselamatan Thailand melaporkan, usul berkenaan dikemukakan kepada ketua perunding kerajaan Thailand, Jeneral Aksara Kerdpol ketika beliau berkunjung ke Malaysia pada minggu ini untuk bertemu pasukan fasilitator daripada kerajaan Malaysia yang diketuai Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim.
Menurut portal berkenaan, ke-dua-dua wakil berkenaan dipercayai membincangkan rangka kerja baharu untuk rundingan damai itu, di mana Malaysia mencadangkan agar pejabat baharu ditubuhkan di selatan Thailand bagi memudahkan rundingan berlangsung antara kedua-dua pihak terbabit.
Menurut laporan itu, penubuhan pejabat berkenaan dijangka dapat mempercepatkan proses melaksanakan perjanjian damai pada pertengahan tahun depan.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Bangkok bersetuju dengan cadangan Malaysia itu atau tidak.
Satu lagi sumber kerajaan Thailand mengesahkan kunjungan Aksara ke Malaysia pada Isnin lalu, tetapi menjelaskan bahawa lawatan itu hanya sebagai sesi mengenali pasukan fasilitator Malaysia.
Jelas sumber berkenaan, syarat-syarat baharu yang dikemukakan untuk meneruskan rundingan damai akan menentukan kejayaan misi perbincangan dan peranan antara ketiga-tiga pihak iaitu Thailand, wakil orang tengah dari Malaysia dan kumpulan pemisah.
“Syarat kali ini menunjukkan skop yang lebih luas berbanding sebelum ini yang hanya menonjolkan peranan orang tengah (Malaysia).
“Banyak dasar telah diubah dan kita perlu mengemukakan syarat-syarat baharu termasuk perkara membabitkan pihak yang perlu menanggung kos sepanjang rundingan dijalankan,” kata sumber itu.
Kerajaan akan menamakan pasukan perunding yang baharu pada minggu depan, manakala kumpulan pemisah akan diminta menghantar wakil mereka bagi menghadiri rundingan berkenaan.