20 December 2014

Thai tanggung kos subsidi beras 680 bilion Bath


19 Disember 2014

 - Gambar Hiasan
- Gambar Hiasan

BANGKOK - THAILAND.  Thailand dijangka menanggung kerugian kira-kira 680 bilion Baht daripada program jaminan padi yang kini digantung yang dilaksanakan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
   
Angka itu adalah berdasarkan kepada pemeriksaan selama berbulan-bulan simpanan stok beras di rumah gudang kerajaan, kata Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-ocha, di sini, hari ini.
   
Simpanan stok berjumlah 17.8 juta tan metrik ini terdiri daripada 2.35 juta tan metrik beras berkualiti baik dan 14.4 juta tan metrik beras standard rendah tetapi boleh dijual. 

Sebanyak 694,000 tan metrik lagi adalah beras tidak berkualiti dan dianggap sebagai beras tidak elok, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar dan Pengurusan Beras di Pejabat Kerajaan di sini, hari ini.
   
"Kami akan menjual keseluruhan gudang beras sekiranya ia berkualiti baik tetapi kami akan menjual pada masa yang sesuai agar tidak memberi tekanan kepada harga tanaman baharu," katanya.
   
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeksport Beras Thailand, Charoen Laothamatas berkata Thailand akan menjadi pengeksport utama beras tahun ini dengan jangkaan eksport 10.5-10.6 juta tan metrik.
   
Tahun depan, Thailand juga dijangka mengeksport jumlah yang lebih kurang sama, katanya, sambil menggesa petani mengurangkan kawasan tanaman luar musim bagi membantu mengurangkan simpanan stok.
   
"Eksport beras kita tahun ini dijangka yang paling tinggi, memecah rekod 10.3 juta tan metrik beberapa tahun lalu," katanya sambil menambah eksport semasa tempoh skim jaminan padi hanya kira-kira 6.5 juta tan metrik.  - Bernama

No comments:

Post a Comment