Laporan portal berita Bangkok Post menyebut, lebih 200 buah rumah di tiga perkampungan di Chumphon di wilayah Phatthalung ditenggelami air sedalam satu hingga 1.3 meter.
Tambah laporan itu, sebatang jalan utama sejauh satu kilometer di Phetkasem turut ditenggelami air sedalam 80 sentimeter, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu-lintas dan sepasukan askar dikerah untuk melancarkan laluan trafik.
Sementara itu, lebih 150 keluarga di enam kampung di Khuan Khanun dan Chamuang telah diarahkan berpindah ke kawasan yang lebih tinggi selepas paras air sungai berdekatan rumah mereka semakin meningkat.
Di wilayah Nakhon Si Thammarat, pasukan penyelamat masih bertungkus-lumus mencari seorang penduduk yang hilang akibat dihanyutkan arus banjir ketika mangsa memancing di sebuah terusan.
Daerah Phipun merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat banjir dengan purata kedalaman air sehingga 50 sentimeter.
Pejabat Jabatan Meteorologi di timur wilayah selatan mengeluarkan amaran bahawa kawasan di Surat Thani dan Songkhla mungkin berdepan ancaman banjir memandangkan hujan lebat dijangka berterusan sehingga esok.
Pihak berkuasa turut memberi amaran kepada nelayan kecil di wilayah Trang agar tidak turun ke laut ekoran bahaya ombak yang mencapai tinggi sehingga dua meter.