Hujan lebat sejak beberapa hari lalu turut menenggelamkan berpuluh-puluh buah kampung, selain pintu sempadan Thai-Malaysia di Sungai Golok masih ditutup.
Laman web Bangkok Post melaporkan, seorang kanak-kanak berusia 7 tahun dikenali sebagai Suhaila Ngajoo mati selepas tanah runtuh melanda rumahnya di wilayah Yala pada kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia).
Ahli keluarga mangsa dilaporkan turut mengalami kecederaan, namun maklumat lanjut mengenai keadaan mereka tidak didedahkan.
Hujan lebat yang bermula sejak 13 Disember lalu mengakibatkan 41 buah kampung di wilayah Yala tenggelam, termasuk kampung Krong Pinang, Muang Yala dan Yaha.
Gabenor Narathiwat, Natthapong Sirichana berkata, 13 buah kampung di daerah Waeng serta Sukhirin dilabelkan sebagai zon banjir dan kesemua penduduk di kawasan berkenaan diarah berpindah ke pusat penempatan sementara.
“Sebanyak sembilan buah sekolah di Waeng dan Sukhirin turut diarahkan tutup selepas paras air mencecah 1.5 hingga 2 meter. Banjir banyak berlaku di kawasan yang rendah,’ jelas Natthapong.
Sementara itu, hujan dilaporkan berlaku sepanjang malam di wilayah Phatthalung, kelmarin mengakibatkan kemusnahan tanaman pokok getah, bunga orkid, padi dan sayur-sayuran.