28 December 2014

Yala, Pattani berjaga-jaga

Yala: Penduduk di Yala dan Pattani diberi amaran supaya bersiap sedia menghadapi banjir selanjutnya selepas pihak berkuasa melepaskan air dari empangan Bang Lang, di sini.
Timbalan gabenor Yala Sayan Intaraphak berkata, pihak berkuasa terpaksa melepaskan air berkenaan memandangkan paras air di situ sudah mencecah 114.81 meter sedangkan jumlah yang boleh ditakungnya ialah 115 meter.
Menurutnya, tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan ia boleh beroperasi.
Jurutera kanan empangan Nimuhammad Nuradin Wae berkata, 30 juta kubik meter air di empangan berkenaan dilepaskan bagi memastikan struktur empangan selamat.
Menurutnya, ia akan menjejaskan penduduk di tebing Sungai Pattani di Yala dan Pattani.
Air yang dilepaskan itu tiba di Yala tengah hari semalam sementara dijangka memasuki wilayah Pattani hari ini.
Usaha membantu penduduk melindungi kawasan ekonomi sudah dilancarkan.
Gabenor Pattani Weerapong Kaewsuwan berkata, air yang dilepaskan dari empangan Bang Lang akan menjejaskan penduduk di Muang, Yarang, Nong Chik dan Mae Lan.
Dia menasihatkan penduduk di kawasan rendah sepanjang tebing Sungai Pattani supaya berpindah dengan membawa barangan serta haiwan ternakan ke tempat tinggi.
Penduduk di Yala kelmarin lega apabila hujan berhenti, membolehkan paras banjir turun selepas beberapa kawasan di wilayah itu ditenggelami air selama beberapa hari hingga memusnahkan 37 kediaman, tiga hospital desa, 27 sekolah dan empat masjid.
Sementara itu, sekurang-kurangnya lapan terbunuh dan dua hilang.
Hujan lebat di empat wilayah paling selatan negara itu juga menjejaskan lebih 1,415 kampung, menurut kenyataan pegawai Jabatan Bantuan Bencana.
“Gabenor empat wilayah berasingan meminta bantuan kecemasan dan tentera sudah dikerah membantu,” kata jurucakap Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Banphot Poonpien. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:09 AM


AIR di empangan Bang Lang dilepaskan kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/19512#sthash.zygENCK5.dpuf

No comments:

Post a Comment