Letupan tersebut turut menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan di pekan itu.
Pihak berkuasa menghantar pakar forensik dan tentera bagi menyi­asat kejadian itu dan mening­katkan kawalan keselamatan.
Ketua Polis Daerah Yaring, Kolonel Montree Khonwadmai berkata, letupan bom itu berlaku pada kira-kira pukul 11 malam, di hadapan sebuah bank, pejabat koperasi, beberapa premis perniagaan dan rumah ketua kampung.
“Kelima-lima anggota polis ter­babit cedera apabila sebutir bom di­letakkan di hadapan rumah ketua kampung meletup ketika mereka sedang menjalankan tugas di situ,” katanya, hari ini
Beliau berkata, semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pattani. Jurucakap tentera, Jeneral Yuthanan Petchmuang berkata, le­tupan bom itu bertujuan mencetuskan keadaan huru-hara terhadap operasi pasukan keselamatan di situ dan mencetuskan kekeliruan.
Sementara itu, penghuni yang tinggal dalam sebuah kedai runcit di situ, Suprani Pechwilai, 66, berkata, beliau dan lima cucunya nyaris maut apabila bom diletupkan di kedai tersebut.
“Anggota polis menyelamatkan mereka selepas letupan bom itu,” katanya.
Menurut Montree, polis percaya 10 suspek terlibat dalam serangan bom itu, tetapi akan menjalankan siasatan lebih lanjut termasuk me­ngenal pasti individu bertanggungjawab menerusi rakaman kamera litar tertutup. – dpa/BERNAMA