2 April 2016

Yingluck mahu junta beri penjelasan

Bangkok: Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra (gambar) semalam menggesa junta tentera menjelaskan sama ada pilihan raya umum tetap diadakan tahun depan seperti dirancang walaupun perlembagaan baru negara itu ditolak rakyat.
Tentera yang menumbangkan kerajaan Yingluck pada 2014 membuat persediaan bagi mengadakan pungutan suara pada Ogos ini untuk meluluskan perlembagaan berkenaan.
Tetapi junta tentera tidak memberitahu apa akan berlaku sekiranya perlembagaan itu ditolak, sekali gus mencetuskan kebimbangan janji untuk mengembalikan demokrasi pada 2017 mungkin tertangguh lagi.
“Saya menggesa Majlis Kebangsaan untuk Keamanan dan Undang-Undang (NCPO) mengumumkan secara jelas apa yang bakal berlaku selepas pungutan suara berkenaan,” kata Yingluck dalam laman Twitter miliknya.
“Adakah NCPO akan mengadakan pilihan raya umum seperti dijanjikan kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Junta tentera yang juga dikenali sebagai NCPO beberapa kali menangguhkan tarikh pilihan raya umum.
Draf perlembagaan itu dikritik ramai pihak kerana dilihat cuba mengekalkan pengaruh tentera dalam kerajaan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:05 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/127254#sthash.9EUfE6HK.dpuf

No comments:

Post a Comment