Ketua kerajaan tentera, Prayut Chan-O-Cha, yang memimpin kerajaan junta selepas rampasan kuasa pada 2014 berkata, beliau bersedia mengadakan rundingan dengan pemberontak, walaupun setakat ini gagal mengadakan rundingan berskala penuh atau mengambil tindakan drastik bagi membendung keganasan.
Lebih 6,500 orang terbunuh, majoritinya orang awam sejak 2004 dalam pertempuran antara pemberontak dan pasukan keselamatan Thailand di wilayah bergolak itu.
“Jangan tanya tentang kuasa autonomi... daripada segi pembangunan (di selatan Thailand) kerajaan pusat boleh menyediakan segala-galanya,” kata Prayut kepada pemberita, sambil menambah kata, konflik itu membuatkan beliau menjadi “marah”.
Beliau merujuk kepada isu pemberian kuasa autonomi yang lebih luas di selatan Thailand, antara beberapa tuntutan yang dikemukakan secara terbuka oleh kumpulan-kumpulan pemberontak.
Prayut juga menafikan perkembangan terbaharu membabitkan perunding tertinggi tentera, Nakrob Boonbuathong, ada kaitan dengan kegagalan rundingan penuh.
“Beliau tidak perlu melakukan tugas itu sehinggalah beliau mati,” herdik ketua junta itu kepada pemberita.
“Rundingan itu akan tetap berlangsung seperti dirancang, jika kita tidak boleh berunding sekarang, kita boleh berunding kemudian,” tambahnya.
Pentadbiran Prayut merancang untuk melaksanakan aktiviti ekonomi di wilayah bergolak di selatan Thailand, namun usaha itu sukar dilakukan ekoran kejadian tembakan dan letupan yang sering berlaku, yang menyasarkan kakitangan kerajaan, termasuk guru dan orang awam.
Kumpulan pemberontak yang tidak bersatu dan mantap menyebabkan mereka tidak mempunyai jurucakap rasmi.
Kumpulan-kumpulan hak asasi menuduh pihak berkuasa Thailand cuba menghapuskan budaya penduduk Islam, menyiksa tahanan dan menahan penduduk Islam dengan berselindung di bawah undang-undang darurat yang dikuatkuasakan di wilayah itu. – AFP