Portal Bangkok Post melaporkan, serangan itu berlaku kira-kira pukul 10 malam, apabila sekurang-kurangnya tiga lelaki bersenjata yang menaiki sebuah trak pikap berhenti di hadapan kedai kopi berkenaan.
Seorang daripada lelaki terbabit kemudian melontar sebutir bom tangan ke dalam premis berkenaan yang ketika kejadian terdapat 10 orang penduduk sedang minum di situ.
Namun, kata polis yang me­nemubual saksi yang juga pemilik kedai, Asae Umasalae, 46, bom tangan itu tidak meletup, sekali gus mendorong penyerang melepaskan tembakan rambang sebelum melarikan diri.
Dua penduduk kampung yang terbunuh dikenal pasti sebagai Abdulkaling Hanirae, 48, dan Bueraheng Kareng, 52, yang maut sejurus tiba di Hospital Raman.
Arbah Torluemaehawor, 48, pula terkena tembakan pada kaki kirinya dan masih dirawat di hospital.
Sementara itu, pegawai polis, tentera dan Pemusnah Ordnans Letupan (EOD) diketuai Timbalan Ketua Polis Yala, Piyawat Chalermsri memeriksa lokasi kejadian pagi ini.
Anggota EOD kemudiannya menemukan bom tangan jenis M79 di kedai kopi berkenaan lalu memusnahkannya.
Sebanyak tiga buah motosikal turut musnah dalam serangan berkenaan.