Ketua Polis Yala Mejar Jeneral Polis Ittipon Achariapradit berkata, pikap itu gagal diletupkan selepas lelaki berkenaan, Nai Sunan Thongnet, 53, memaklumkan kepada polis tentang bom itu dalam kejadian pada 10 pagi ini.
“Polis telah mengosongkan kawasan sekeliling dan hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati dua tong gas berisi bahan letupan seberat 160 kilogram sedia untuk diletupkan menggunakan walkie-talkie,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, Nai Sunan pada mulanya diculik oleh sekumpulan lapan individu lengkap bersenjata ketika memandu bersama isterinya Renu Jitban, 61, di Kampung Kua Long, daerah Bannang Sata, petang semalam.
Menurut Ittipon, kumpulan ber­senjata itu memaksa mangsa memandu pikap sarat dengan bom itu ke daerah Muang pagi ini dan mengancam untuk mencederakan isterinya yang dijadikan tebusan jika beliau gagal berbuat demikian.
Sejurus Nai Sunan memandu kenderaan itu ke lokasi berkenaan, iste­rinya dibebaskan oleh individu bersenjata terbabit tanpa diapa-apakan.
Ittipon berkata, lelaki terbabit meletakkan keretanya di hadapan sebuah pusat pameran kereta sebelum lari mendapatkan anggota keselamatan dan memaklumkan tentang bom itu.
“Pasukan pemusnah bom me­ngambil masa dua jam untuk mematikan bom di dalam kereta itu," katanya. – BERNAMA