Menurut laporan bangkokpost.com, sebutir bom meletup di Balai Polis Muang, manakala sebutir lagi meletup di depan kedai loteri di bandar Soi Lammai Uthis selang seminit kemudian.
Menurut polis, seramai 13 orang cedera termasuk lima pegawai polis dan seorang kanak-kanak perem­puan.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Naradhiwas Rajanagarindra untuk mendapat rawatan.
Ketua polis Narathiwat, Mejar Jeneral Pattanawut Angkanawin dan Timbalan Ketua Balai Polis Muang, Leftenan Supoj Pongchuaydo berkata, dua motosikal jenis Honda Wave dengan nombor pendaftaran palsu digunakan semasa letupan tersebut.
Pemilik kedai loteri, Thamrong Keeratiwirojkul berkata, dia melihat seorang lelaki meletakkan motosikal tersebut di hadapan kedainya sebelum meninggalkan kenderaan itu dengan menaiki motosikal lain, namun bom berkenaan meletup sebelum sempat dia menghubungi polis.
Sementara itu di Yala, dua peniaga kayu getah terbunuh di pintu masuk pertubuhan pentadbiran Tambon Lam Mai di wilayah Muang.
Kejadian berlaku ketika mangsa, Hamdi Tolubo, 35, dan Yunu Late, 30, yang menaiki sebuah jip untuk menghantar kayu getah ke sekolah di Tambon Lam Mai diekori oleh sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah pikap.
Lelaki-lelaki berkenaan melepaskan tembakan sebaik sahaja memotong kenderaan yang dinaiki mangsa, menyebabkan kenderaan Hamdi dan Yunu terbabas lalu me­langgar sebatang tiang.
Mangsa yang ditembak bertalu-talu meninggal dunia di tempat kejadian.
Pihak polis mengesyaki serangan itu bermotifkan perniagaan.