23 July 2014

Umat Islam Pattani turut doakan mangsa MH17


23 Julai 2014

PATTANI - THAILAND. Tragedi pesawat penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang mengorbankan 298 nyawa di Timur Ukraine Khamis lepas turut mendapat simpati umat Islam di sini.
   
Semalam, lebih daripada 100 umat Islam dari tiga wilayah selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat membacakan doa khusus untuk mangsa MH17 pada Majlis Berbuka Puasa bersama Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Faizal Ghazali.
   
Mohd Faizal berkata ini adalah kali pertama Pejabat Konsul Malaysia mengadakan Majlis Berbuka Puasa di Selatan Thailand.
   
Beliau  mengucapkan terima kasih atas simpati umat Islam di selatan Thailand terhadap kehilangan penerbangan MH370 sebelum ini dan tragedi MH17 yang terhempas di Ukraine.
   
Beliau berkata majlis buka puasa kali ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan pejabat Konsul Jeneral di Songkhla dengan umat Islam di wilayah berkenaan.
   
Majlis yang berlangsung di Dewan Majlis Agama Islam Wilayah Pattani di mulakan dengan ucapan daripada Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani Wae Deramae Matminchik yang mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang MH17 yang meninggal dunia dalam tragedi berkenaan dan berharap agar rakyat Malaysia tetap sabar dengan ujian itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment